suria

Pegawai Tinggi Polis Australia Dipenjara 22 Tahun

SYDNEY: Seorang pegawai polis pada Khamis, dihukum penjara selama 22 tahun atas kesalahan cuba mengimport dadah dalam kuantiti yang banyak dari Pakistan ke dalam negara tersebut.

Mark Standen, 54, adalah Timbalan Pengarah Jabatan Jenayah New South Wales (NSW) - jabatan yang tugasan utamanya adalah berkaitan pengedaran dadah - semasa ditahan pada tahun 2008.

Dia didakwa menggunakan maklumat dalaman yang diperolehnya berhubung agensi perundangan dadah Australia untuk melakukan kesalahan tersebut, kata Hakim Bruce James semasa menjatuhkan hukuman tersebut.

“Sesuatu yang lebih teruk ialah apabila dia menggunakan pengetahuan dan kenalan yang diperoleh sepanjang kerjayanya sebagai seorang penguatkuasa udang-undang dan menyalahgunakan kedudukannya di NSW.” kata James.

Sebelum berkhidmat di NSW, Standen yang mempunyai empat orang anak pernah bertugas di Jabatan Polis Persekutuan Australia dan Jabatan Kastam.

Dia didapati bersalah atas tuduhan berkonspirasi untuk mengimport 300 kilogram pseudoephedrine, iaitu bahan yang digunakan dalam pemprosesan dadah jenis speed dan ice dalam kapal yang membawa muatan beras dari Pakistan, walaupun kapal tersebut tidak berjaya sampai ke pelabuhan negara tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara Januari 2006 dan Jun 2008 dan Hakim berpendapat Standen terjebak dalam jenayah itu disebabkan oleh sifat tamak. Standen boleh memohon parol selepas menjalani hukuman selama 16 tahun. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain