suria

Bekas Presiden Israel Jalani Hukuman Penjara Kerana Merogol

BAITULMAQQIS: Bekas Presiden Israel, Moshe Katsav mendakwa negara itu ‘menghukum’ insan yang tidak bersalah sejurus sebelum beliau bertolak ke sebuah penjara kawalan minimum di tengah Israel bagi menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun kerana kesalahan merogol.

Katsav didapati bersalah atas tuduhan merogol seorang pekerja wanita semasa beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kabinet dan juga didakwa melakukan jenayah seksual terhadap dua lagi wanita semasa bergelar Presiden antara tahun 2000 hingga 2007.

Kes tersebut menggemparkan dan mengejutkan negara terbabit dan sabitan terhadap bekas Presiden itu dilihat sebagai kejayaan kepada hak dan persamaan wanita di bawah undang-undang.

Dalam kenyataan ringkasnya kepada pihak media yang mengerumuni kediamannya sebelum bertolak ke Penjara Maasiyahu, Katsav dengan wajah muram memberitahu pihak berkuasa tidak mengendahkan bukti yang boleh menunjukkan beliau tidak bersalah.

Beliau juga menjangkakan bahawa ‘kebenaran akan terserlah’ pada suatu hari nanti.

“Kerajaan Israel menghukum seorang lelaki berdasarkan tanggapan, tanpa keterangan yang benar dan tanpa bukti.

“Kelak, anda akan menyedari bahawa anda menanam seorang lelaki hidup-hidup,” katanya.

Dengan ketiadaan bukti forensik, pihak pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada keterangan saksi dalam mewujudkan kes terhadap Katsav.

Pakar perundangan berkata, persamaan dalam keterangan mangsa yang saling tidak mengenali berkemungkinan membawa kepada sabitan tersebut dan menyebabkan Hakim memutuskan bahawa Katsav berbohong.

Katsav menjadi pegawai Israel paling berpangkat yang pernah dihukum penjara. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain