suria

Serangan Bom Iraq Bunuh 28 Orang

HILLA (IRAQ): Siri serangan bom mensasarkan jemaah Syiah di Iraq, mengorbankan 28 nyawa dan mencederakan 78 orang pada Isnin, sehari sebelum kemuncak sambutan Ashura, kata pegawai keselamatan dan perubatan.

Ia adalah hari menyedihkan di Iraq sejak 27 Oktober lalu, apabila sekurang-kurangnya 32 terbunuh dan 71 lagi cedera dalam letupan berganda di Baghdad.

Pada serangan Isnin lalu, bom kereta meletuskan para jemaah di Neel, utara Hilla dan selatan Baghdad, di tengah-tengah Iraq, kata pegawai keselamatan.

"Kami menerima 16 mayat dan 45 kecederaan," kata Dr Mohammed Ali dari Hospital Hilla kepada AFP, dan leftenan pertama polis Hilla mengesahkan angka tersebut.

Pegawai polis berkenaan juga berkata, bom kereta itu meletus di pusat Hilla berdekatan penempatan jemaah Syiah, membunuh seorang mangsa dan mencederakan tiga yang lain.

Sumber perubatan di hospital lain di Hilla memberitahu telah menerima satu mayat dan 20 mangsa yang tercedera.

Baghdad juga menghadapi serangam bom yang disasarkan kepada jemaah Syiah, dengan sekurang-kurangnya 10 terbunuh manakala 30 lagi tercedera.

"Lapan orang terbunuh dan 18 tercedera oleh letupan bom di tepi jalan yang mensasarkan konvoi jemaah di penempatan Urr," kata sumber polis.

Jumlah itu kemudiannya disahkan oleh sumber perubatan di Hospital Imam Ali, bandar Sadr, yang menerima lapan mayat dan 18 mangsa yang tercedera daripada serangam bom di penempatan Urr.

Sumber perubatan di Hospital Al-Kindi pula berkata, hospital berkenaan menerima dua mayat dan lapan mangsa tercedera daripada serangan bom di Mashtal, timur Baghdad.

Pegawai khas kementerian dalam negeri berkata, serangan itu juga disasarkan terhadap jemaah Syiah tetapi mengorbankan tiga nyawa dan mencedarakan lapan mangsa.

Sumber tersebut juga mengesahkan bahawa empat mangsa tercedera akibat satu lagi bom di Zafraniyah di pusat Baghdad.

Sementara serangan bom di Latifiyah, 40 kilometer dari selatan Baghdad, mengorbankan satu nyawa, menurut sumber polis.

Pegawai rasmi kementerian juga berkata dua bom diletakkan di tepi jalan di kawasan Qahira, utara Baghdad mencederakan empat orang awam sementara satu lagi letupan mencederakan dua yang lain. Serangan tersebut tidak mensasarkan kepada jemaah Syiah.

Majlis sambutan Ashura yang sampai di kemuncak pada Selasa, diadakan sempena memperingati pembunuhan Imam Hussein, cucu Nabi Muhammad S.A.W, oleh tentera khalifah Yazid pada 680 Tahun Masihi.

Sewaktu sambutan Ashura, orang-orang yang berkabung menunjukkan kekesalan melalui ritual kerana tidak melindungi imam terkenal itu dengan memukul dada, menyebat diri dengan rantai besi atau memotong kulit kepala sewaktu perarakan.

Puak Syiah juga berkumpul pada waktu malam untuk mendengar kisah-kisah mengenai keluarga Hussein dan teman-teman lain yang terbunuh sebelum kematian beliau pada hari ke-10 Muharram, bulan pertama kalender Hijrah Islam.

Seramai 18 jemaah terbunuh sewaktu sambutan ritual Ashura tahun lalu, menurut polis.

Kira-kira 2 juta jemaah Syiah melaksanakan ritual tersebut di Karbala pada 2010, dengan keselamatan diperketatkan atas kebimbangan berlaku serangan.

Tahun lalu adalah pertama kali pihak berkuasa Iraq mengambil alih isu keselamatan sewaktu sambutan Ashura.

Dalam tahun-tahun sebelumnya, Ashura menjadi sasaran puak ekstrem Sunnah Arab, yang melihatkan sambutan itu secara simbolik sebagai memperingati perpecahan antara dua cabang Islam utama di negara itu.

Diktator yang dihukum bunuh, Saddam Hussein dengan rejim didominasi Sunnah menghalang majoriti sambutan Ashura pada sepanjang pemerintahannya sehinggalah beliau digulingkan dalam serangan Amerika Syarikat (AS) pada 2003.

Puak Syiah merangkumi 15 peratus penganut Islam di seluruh dunia. Mereka mewakili populasi majoriti di Iraq, Iran dan Bahrain serta menubuhkan komuniti signifikan di Afghanistan, Lebanon, Pakistan dan Arab Saudi. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain