suria

Penembak Reagan Cuba Bukti Bukan Lagi Ancaman

WASHINGTON: Peguam John Hinckley Jr., lelaki yang cuba membunuh bekas presiden Ronald Reagan pada 1981, mencuba pada Isnin untuk membuktikan bahawa kliennya boleh dibebaskan dengan selamat selepas 30 tahun kejadian itu berlaku.

Hinckley, 56, didapati tidak bersalah atas sebab tidak siuman dalam kes pembunuhan Reagan dan tiga lain termasuk setiausaha akhbar White House, James Brady.

Sejak itu, dia ditahan di hospital psikiatri St Elizabeth di Washington.

Dalam mahkamah persekutuan di sini, peguam Hinckley, Barry Levine menimbulkan bahawa hubungan mesra dan rapat kliennya, aktiviti sosial dan teraputik juga harapan untuk mendapat pekerjaan membuktikan bahawa dia mampu berfungsi dalam masyarakat.

Beliau memohon pihak hospital untuk membenarkan Hinckley menghabiskan lebih banyak masa dengan ibunya yang berusia 85 tahun dan menetap di Williamsburg, Virginia.

Ketika bertanya pakar terapi Carl Beffa mengenai hubungan pesakit itu dengan wanita di hospital berkenaan termasuk pertunangan yang diputuskan, peguam itu bertanya: "Adakah hubungan ini memperbaiki moodnya, membuatkan dia berharap dan mengurangkan risiko?"

Beffa berkata dia percaya hubungan itu memberikan Hinckley "peluang untuk belajar hidup." Dia juga berkata menyokong parol untuk pesakit itu dan kemungkinan dia bekerja di kedai haiwan peliharaan yang dikatakan telah menawarkan Hinckley pekerjaan.

"Secara ideal, ia mengambil masa tiga minggu... untuk menjalinkan hubungan dan interaksi dalam kumpulan," kata Beffa, merujuk kepada kemungkinan Hinckley keluar bekerja dan mengikuti kumpulan terapi, kelas gitar dan kerja sukarela di hospital.

Pendakwa, Sarah Chasson, meminta Beffa menunjukkan contoh kesanggupan Hinckley untuk menyertai komuniti Williamsburg.

"Saya tidak boleh fikirkan apa-apa," kata Beffa.

Peguam dan doktor hospital memfailkan usul pada akhir Julai memohon agar Hinckley ditempatkan di bawah "cuti pemulihan" tetapi pihak pendakwa menyebutnya di bawah fail mereka sendiri, menjadikannya sebahagian rekod awam.

Hinckley yang tercicir dari kolej, menunggu Reagan keluar daripada sebuah hotel di Washington di mana beliau memberikan ucapan pada 31 Mac, 1981. Hinckley melepaskan enam tembakan menerusi pistol jenis .22 revolver kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu.

Reagan mengalami kecederaan serius tetapi berjaya pulih daripada kejadian itu. Manakala Brady mengalami kecederaan otak serius dan tidak mampu kembali kepada tugasnya di White House. Beliau terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda sejak tiga dekad lalu, kini merupakan peguam bela bagi kawalan senjata di AS.

Perbicaraan disambung pada 9 Disember ini. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain