suria

Kerajaan Indonesia Luluskan Cadangan Redenominasi Rupiah

JAKARTA: Kerajaan Indonesia telah meluluskan cadangan oleh bank pusat, Bank Indonesia (BI), untuk mengeluarkan tiga angka sifar (kosong) daripada mata wang Indonesia.

Menteri Kewangan Agus Martowardojo berkata susulan daripada kelulusan itu, satu rang undang-undang mengenai redenominasi mata wang akan dikemukakan di Dewan Perwakilan Indonesia tahun depan untuk menyokong program itu.

Redenominasi ialah satu proses di mana unit mata wang baharu menggantikan yang lama dan para pegawai BI telah mencetuskan idea untuk mengeluarkan tiga sifar (kosong) daripada rupiah, contohnya Rp1,000 akan menjadi Rp1.

Jika Dewan meluluskan rang undang-undang itu, redenominasi itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima hingga 10 tahun, kata menteri itu yang disebut sebagai berkata oleh media tempatan hari ini.

Idea di sebalik cadangan ini ialah untuk mempermudahkan transaksi harian, yang kerap melibatkan jutaan rupiah. Satu US dolar kini bersamaan 9,100 rupiah.

Bagaimanapun, terdapat juga kebimbangan yang cadangan itu boleh menurunkan nilai mata wang tetapi gabenor BI, Darmin Nasution telah memberi jaminan yang redenominasi itu tidak akan menimbulkan sebarang kerugian kewangan tetapi cuma untuk mengeluarkan beberapa angka sifar (kosong) daripada mata wang itu.

Rupiah pada masa ini merupakan mata wang ketiga bernilai paling rendah dari segi tukarannya kepada dolar US selepas Mozambican metical (23,100) dan dong Vietnam (16,000).

Wang kertas Rp100,000 kini adalah wang kertas bank berdenominasi kedua tertinggi di rantau ini selepas wang kertas 500,000 dong Vietnam yang bernilai kira-kira AS$26.

Agus berkata kerajaan akan melihat kepada langkah redenominasi yang sama yang telah dibuat oleh lain-lain negara sebelum ini, dengan mengambil contoh daripada negara-negara yang telah berjaya melaksanakannya dan juga belajar dari negara yang gagal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain