suria

Kajian Dapati Makan Ikan Baik Untuk Kesihatan Jantung Wanita Muda

WASHINGTON: Wanita yang didapati memakan ikan yang kaya dengan Asid Lemak Omega 3 sebagai diet utama mereka boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, demikian menurut satu kajian yang dijalankan oleh saintis Denmark.

Kajian itu telah dilakukan ke atas wanita yang berumur di antara 15-49 tahun.

Para saintis yang melakukan kajian tersebut juga mendapati, wanita yang tidak atau jarang mengambil ikan sebagai diet utama berhadapan dengan 50 peratus lebih kemungkinan diserang sakit jantung dalam tempoh lapan tahun berbanding mereka yang mengambil ikan secara kerap.

Manakala wanita yang tidak atau jarang mengambil ikan akan berhadapan dengan risiko 90 peratus terkena serangan jantung berbanding dengan mereka yang memakan ikan setiap minggu.

Dan apabila para pengkaji ini melihat rekod mereka yang dimasukkan ke hospital kerana masalah kardiovaskular dalam tempoh jarak 30 minggu, mereka dapati, jumlahnya sangat tinggi di kalangan wanita yang tidak memakan ikan.

Penilaian ini dibuat melalui tiga peringkat yang berbeza.

Penemuan tersebut telah disiarkan dalam journal "Hypertension: Journal of the American Heart Association".

Ia berdasarkan kajian selama lapan tahun oleh saintis Denmark ke atas 49,000 wanita dalam lingkungan umur 30-an.

Wanita yang terlibat dalam kajian ini telah ditanya mengenai sejarah keluarga mereka, gaya hidup dan kekerapan mengambil ikan sebagai diet utama harian.

Mereka yang terlibat dalam kajian ini akan dinilai untuk tempoh lapan tahun tersebut.

"Hasilnya, kami dapati terdapat kaitan yang sangat kuat tentang penyakit jantung di kalangan wanita yang berusia lewat 30-an," kata Marin Strom, ketua penyelidik dan juga fellow penyelidik di Pusat Untuk Program Janin di Institut Statens Serum Copenhagen, Denmark.

Katanya, cabaran sebelum ini ialah untuk menyakinkan generasi muda tentang kajian seperti ini kerana biasanya kesan positif hasil daripada pemakanan mereka tidak akan terlihat sehingga 30 atau 40 tahun tetapi kajian ini membuktikan sebaliknya.

Wanita yang didapati memakan ikan kod, salmon, hering dan ikan kembung yang mana kesemuanya adalah kaya dengan asid lemak Omega-3 mendapat perlindungan yang lebih daripada terkena sebarang penyakit vaskular yang berkaitan dengan sakit jantung.

Kajian itu secara spesifik memberi tumpuan kepada pengambilan ikan sebagai diet utama dan bukannya dalam bentuk makanan suplementari seperti minyak ikan dan sebagainya.

"Oleh yang demikian, wanita yang gemar memakan ikan akan dapati, berita hasil daripada kajian ini sebagai sesuatu yang memberansangkan, tetapi mereka mestilah memakan ikan sekurang-kurangnya dua kali seminggu" ujarnya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain