suria

Indonesia Rancang Perluas Halangan Perdagangan , Had Import Tidak Diperlukan

JAKARTA: Indonesia merancang untuk memperluaskan halangan perdagangan bagi mengehadkan import yang tidak diperlukan ekoran kebimbangan akan kemasukan secara berlebihan produk seberang laut yang mungkin boleh menjejaskan perniagaan tempatan.

Menteri Perdagangan Gita Wirjawan berkata kebanyakan langkah akan dilaksanakan dalam bentuk halangan bukan tarif seperti menambah dasar kuarantin dan penggunaan mandatori sistem Standard Nasional Indonesia (SNI).

Langkah-langkah itu termasuklah memerlukan kesemua import pertanian dipunggah di pelabuhan yang dikenalpasti dilengkapi dengan pusat-pusat kuarantin yang lebih ketat.

"Kami sedang menyediakan dasar itu dan harap-harap, kami dapat melaksanakannya dengan cepat," kata beliau disebut sebagai berkata dalam akhbar harian berbahasa Inggeris "The Jakarta Post" pada Rabu.

Penggunaan pematuhan SNI dicadangkan kerana kebanyakan produk yang diimport didapati tidak mematuhi peraturan yang sedia ada, kata beliau.

"SNI telah diguna pakai untuk 83 produk tetapi kami mengimport ribuan produk. Kami akan memperluaskan penggunaan standard itu secepat mungkin," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain