suria

India Mahu Laman Internet Tapis Kandungan Menghina

NEW DELHI: Pegawai kanan telekomunikasi India pada Selasa berkata, tindakan akan dilakukan bagi menapis kandungan laman internet yang mempunyai unsur-unsur menghina selepas mendakwa syarikat pengendali Internet seperti Facebook dan Google enggan berbuat demikian walaupun diminta.

Pertikaian tersebut menunjukkan kesukaran yang dialami India dalam usahanya mengimbangi budaya maklumat serba bebas yang ditawarkan oleh Internet dengan budaya dan agama tempatan serta isu sensitif politik negara tersebut.

Pihak kerajaan dilaporkan tidak begitu gembira dengan berita yang menghina Perdana Menteri, Manmohan Singh, pemimpin Kongress Sonia Gandhi dan pemimpin-pemimpin agama yang lain.

Menteri Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) India, Kapil Sibal berkata, beliau telah cuba untuk berbincang dengan pegawai-pegawai dari syarikat pengendali Internet sejak tiga bulan lalu bagi meminta supaya kandungan-kandungan seperti itu di keluarkan daripada Internet secara sukarela.

“Ini adalah perkara yang penting buat kita. Kita perlu menjaga sensitiviti penduduk,” katanya.

Tambah beliau, pada mesyuarat yang diadakan Isnin, syarikat-syarikat pengendali Internet memberitahu bahawa mereka tidak dapat melakukan apa-apa mengenai perkara itu menyebabkan kerajaan terpaksa mencari formula sendiri untuk melaksanakan polisi terbabit.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan apakah polisi terbabit.

“Kita meminta kerjasama daripada mereka dan jika seseorang enggan berbuat demikian dalam perkara yang boleh menimbulkan ketegangan seperti ini, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memikirkan apakah langkah-langkah yang perlu diambil.

“Kami tidak mahu mencampuri kebebasan akhbar tetapi kandungan-kandungan seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan,” katanya.

Media tempatan India melaporkan pada mesyuarat tersebut, Sibal telah memaklumkan pegawai-pegawai daripada Google, Facebook, Yahoo dan Microsoft mengenai kandungan yang menghina Manmohan Singh, Sonia Gandhi dan pemimpin agama.

Facebook dalam kenyataannya pada Selasa berkata, mereka akan mengeluarkan kandungan yang ‘berunsurkan kebencian, mengugut, mengapi-apikan keganasan atau mempunyai unsur-unsur kelucahan’.

“Kami menyendari hasrat kerajaan India dalam mengurangkan jumlah kandungan yang berunsurkan sedemikian di online dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa India semasa mereka membincangkan isu penting ini,” kata kenyataan tersebut. Google pula berkata, pihaknya akan mengeluarkan kandungan yang melanggar undang-undang negara tersebut dan juga polisi syarikat terbabit.

“Tetapi jika kandungannya menepati kehendak undang-undang dan tidak bertentangan dengan polisi kami, kami tidak akan mengeluarkannya hanya kerana ia kontroversi kerana kerana kami percaya kepada pendapat yang berbeza kerana ia perlu dihormati,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Google.

Yahoo tidak mahu mengulas isu tersebut manakala Microsoft tidak mengeluarkan sebarang kenyatan buat masa ini.

Seorang individu yang mempunyai pengetahuan mengenai mesyuarat tersebut memberitahu, permintaan untuk berbuat demikian dibuat ekoran laman Facebook yang menyentuh mengenai Sonia Gandhi.

Individu tersebut tidak mahu dinamakan kerana isu ini adalah sensitif.

Facebook mempunyai satu laman bertajuk ‘I hate Sonia Gandhi’ (Saya benci Sonia Gandhi) dan dua laman di bawah tajuk 'We hate Sonia Gandhi’ (Kami benci Sonia Gadhi) serta satu halaman lagi bertajuk ‘Manmohan Singh is a puppet of Sonia Gadhi’ (Manmohan Singh adalah boneka kepada Sonia Gandhi).

India mempunyai 25 juta pengguna Facebook. -AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain