suria

Singapura Hadapi Cabaran Akibat Penyalahgunaan Dadah - TPM

SINGAPURA: Singapura menghadapi cabaran lebih hebat dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah di negara itu dalam situasi yang semakin buruk di rantau Asia Tenggara, kata Timbalan Perdana Menteri, Teo Chee Hean.

Katanya, Singapura dalam posisi berbahaya kerana "hampir dengan negara-negara pengeluar dadah".

"Kuasa membeli rakyat Singapura juga tinggi berbanding negara lain di rantau ini. Justeru, kita menjadi sasaran para penyeludup sebagai pasaran yang menguntungkan," kata Teo, yang juga menteri penyelaras keselamatan dan hal ehwal dalam negara, pada majlis ulang tahun ke-40 Central Narcotics Bureau (CNB), malam Isnin.

Sejak 40 tahun lalu, landskap penyalahgunaan dadah di Singapura telah berubah, katanya, dengan menambah bahawa republik itu kini menghadapi satu lagi ancaman dadah sintetik.

Dalam tempoh empat tahun, jumlah mereka yang ditahan akibat penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine juga meningkat, katanya.

Teo berkata, dadah sintetik diperbuat daripada bahan kimia untuk kegunaan industri dan meletakkan polisi ke atasnya adalah tidak mudah.

"Tambahan pula, sindiket dadah telah mengubah lokasi makmal rahsia lebih dekat kepada Singapura dan negara-negara jiran turut mengesan lebih banyak makmal dapur sejak beberapa tahun kebelakangan ini," ujarnya.

Kata Teo, CNB turut melaksanakan penguatkuasaan intensif sejak beberapa tahun lalu.

"Dari segi bekalan, kami mendapati rampasan heroin dan methamphetamine meningkat, kedua-duanya adalah dadah paling tinggi digunakan di dalam negara dan sekitar rantau ini. Jumlah rampasan heroin dan methamphetamine juga dijangka mencecah paras rekod tahun ini.

"Dari aspek permintaan pula, CNB telah menangkap lebih banyak pengguna dadah. Sementara kami terus memulihkan penyalahguna dadah sedia ada dan mencegah mereka kembali kepada dadah, kami juga bimbang dengan jumlah tangkapan yang meningkat 25 peratus sejak tiga tahun lalu.

"Dalam menangani landskap dadah yang semakin berubah, adalah lebih kritikal untuk mengekalkan falsafah kosong toleransi terhadap penyalah gunaan dadah," katanya.

Teo juga berkata, untuk menangani cabaran tersebut, beliau meminta Menteri Wilayah, Masagos Zulkifli pada September untuk mempengerusikan jawatankuasa bertindak ke atas dadah melibatkan wakil kerajaan dan komuniti.

Jawatankuasa itu akan mengambil kira penilaian komprehensif meliputi pendidikan dalam aspek pencegahan, mengekang pembekalan dan permintaan, rawatan dan pemulihan serta penjagaan yang akan dibentangkan pada suku pertama tahun depan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain