suria

Penerbit FHM India Pertahan Gambar Artis Pakistan Berbogel Pada Muka Depan Adalah Asli

NEW DELHI: Penerbit majalah fesyen, gaya dan sosial FHM India mempertahankan keputusan mereka menggunakan gambar bogel seorang aktres Pakistan pada muka depan keluaran terbaru majalah itu.

Yang menjadikan gambar muka depan itu lebih panas dan kontroversi adalah keputusan mereka untuk meletakkan logo agensi perisikan Pakistan Inter- Services Intelligence pada lengan aktres berkenaan.

Edisi hujung tahun iaitu bulan Disember majalah itu dijangka memasuki pasaran dalam minggu ini tetapi prebiu menerusi laman web majalah berkenaan telah mencetuskan kontroversi di India apatah lagi di Pakistan.

Aktres berkenaan - Veena Malik telah mengeluarkan kenyataan menafikan melakukan sebarang aksi bogel untuk keluaran majalah FHM India malah menuduh majalah itu memalsukan imejnya.

Bercakap kepada stesen televisyen Pakistan, Geo TV pada Sabtu, Veena Malik menegaskan memang benar beliau telah menghadiri sesi fotografi dan bersetuju untuk meletakkan tattoo ISI pada lengannya untuk tujuan berjenaka tetapi tidak sama sekali berbogel di hadapan kamera.

"Saya tidak berbogel...gambar saya telah dipalsukan," ujarnya.

Bagaimanapun, Editor FHM India, Kabeer Sharma memberitahu agensi berita AFP dan juga BBC bahawa beliau sangat terkejut dengan dakwaan yang dibuat oleh Veena Malik.

"Hakikatnya ialah, kami tidak menggunakan photoshop untuk memalsukan gambar muka depan itu. Apa yang anda saksikan adalah apa yang kami rakamkan. Dia memiliki badan yang sangat cantik," ujar Sharma merujuk kepada Veena.

Sharma juga berjanji akan mengeluarkan beberapa keping gambar lagi sebagai bukti bagaimana aksi bogel itu dirakamkan dan bukannya dipalsukan mengguna Photoshop.

Beliau juga dipetik oleh BBC sebagai berkata bahawa FHM India menyimpan rakaman video sepanjang rakaman untuk muka depan majalah itu diambil.

Malah Kabeer Sharma memberitahu koresponden BBC di Islamabad, Nosheen Abbas bahawa mereka mempunyai bukti kiriman emel daripada Veena yang berkata beliau tidak sabar untuk melihat bagaimanakah hasil rakaman itu nanti.

Apa yang lebih menarik perhatian ramai ialah tulisan yang menyerupai tatoo pada lengannya yang tertulis nama agensi perisikan Pakistan dengan huruf besar - ISI - iaitu akronim kepada Inter Services Intelligence.

India dan Pakistan yang masing-masing memiliki peledak nuklear telah berperang sebanyak tiga kali dan ISI sering kali dituduh oleh New Delhi sebagai perancang kepada serangan yang kelihatan seperti serangan militan di India.

Dalam konteks ini, Sharma menjelaskan tujuan mereka memilih cerita muka depan yang agak kontroversi hanyalah sekadar untuk mengusik dan berjenaka memandangkan obsesi India ke atas gerak-geri ISI.

Kata editor itu lagi, generasi muda India tidak memberi perhatian yang begitu serius ke atas ancaman ISI dan pertelingkahan antara kedua-dua buah negara.

"Sebaliknya mereka hanya ingin mendekatinya secara sinis, berjenaka dan meneruskan kehidupan harian seperti biasa," ujarnya.

Sharma juga berkata, gambar bogel Veena itu tidak lucah tetapi sebaliknya merupakan gambar yang sangat luar biasa.

"Ia memerlukan kekuatan diri untuk melakukannya. Ia memperlihatkan bagaimana seorang wanita seksi sepertinya tidak takut untuk memperkatakan pemikirannya," tegas Sharma.

Veena Malik memang sebelum ini sudah dikenali di India.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain