suria

Wanita Mengaku Anak Sebenar Elvis Presley Fail Saman AS$130 Juta

NASHVILLE (Amerika): Seorang wanita Sweden yang membuat dakwaan terbuka bahawa dialah sebenarnya anak perempuan Raja Rock 'N' Roll, mendiang Elvis Presley telah memfailkan saman fitnah dan tekanan emosi bernilai AS$130 juta ke atas keluarga dan juga pemegang amanah harta pusaka penyanyi popular dunia itu.

Lisa Johansen, 43, mendakwa dia telah dipaksa melarikan diri ke Sweden selepas kematian ayahnya pada tahun 1977 oleh ahli keluarga yang lain kerana bimbang akan menjadi mangsa penculikan.

Sebagai ganti, kata Lisa, dia telah digantikan dengan seorang "penyamar" iaitu Lisa Marie Presley.

Kata Lisa Johansen lagi, dialah anak kandung sebenar Priscilla Presley.

Selama bertahun-tahun, Lisa Johansen mengekalkan imej berprofil rendah tetapi beberapa siri pertelingkahan dengan ahli keluarga Elvis yang lain telah mendorongnya untuk memfailkan saman fitnah ini.

Lisa secara rasminya telah memfailkan samannya di Mahkamah Daerah Memphis, Tennessee pada 21 November lalu.

Tetapi sebelum itu segala-galanya bermula apabila Lisa bersama suami dan anak-anaknya telah berkunjung ke Memorial Elvis di Graceland Ogos lalu untuk memberi penghormatan ke atas ulang tahun kematian Elvis.

Ketika di sana dia telah menceritakan dengan panjang lebar mengenai sejarah dirinya dan hubungannya dengan Elvis kepada staf memorial tersebut.

Ini telah mendorong peguam kepada keluarga Elvis, Martin Singer menghantar surat kepada peguam Lisa Johansen membantah sikap Lisa ketika berada di Memorial tersebut.

Artikel Lain