suria

Sektor Pelancongan Thailand Terjejas Akibat Banjir

BANGKOK: Banjir terburuk yang pernah melanda Thailand dalam tempoh lima dekad menyebabkan industri pelancongan di negara itu terjejas dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah 32 bilion Baht (kira-kira RM3.2 bilion).

Jurucakap Kementerian Pelancongan dan Sukan Watchara Kannika berkata banjir empat bulan itu menyebabkan Thailand kehilangan pendapatan antara 16 bilion Baht dan 19 bilion Baht (kira-kira RM1.6 bilion dan RM1.9 bilion) daripada pelancong asing.

Bagi pelancong domestik pula, kerugian dianggarkan kira-kira 13 bilion Baht (kira-kira RM1.3 bilion), katanya.

Thailand diunjur akan kehilangan antara 400,000 hingga 750,000 pelancong asing dan enam juta pelancong tempatan akibat bencana alam itu.

Beliau berkata sebanyak 674 daripada 6,321 keseluruhan hotel yang berdaftar juga terjejas akibat banjir.

Watchara berkata kira-kira 40 peratus perniagaan restoran turut terjejas iaitu membabitkan sejumlah 3,000 daripada 7,500 yang berdaftar.

Perniagaan spa pula dianggarkan mengalami kerugian sebanyak 1.5 bilion Baht (kira-kira RM150 juta) pada November dan Disember sahaja, katanya.

"Kira-Kira 10 negara belum lagi membatalkan nasihat perjalanan. Sekarang terdapat satu aliran maklumat di negara jiran yang memberi amaran mengenai wabak di negara ini ekoran banjir dan selepas banjir," katanya yang menambah Thailand akan membetulkan maklumat kurang tepat itu kerana ia tidak berdepan situasi wabak berkenaan.

Beliau berkata pihaknya meramalkan bahawa situasi banjir di negara itu akan bertambah baik pada hujung bulan ini atau awal bulan depan.

"Kementerian akan mencadangkan kepada kabinet untuk satu bajet antara tiga hingga lima bilion Baht bagi memulihkan serta merangsang industri pelancongan negara dalam rancangan lima tahun," katanya.

Kira-Kira suku daripada kawasan di Thailand masih digenangi air, menjejaskan kira-kira lima juta penduduk 17 wilayah di bahagian utara dan tengah sejak negara itu dilanda banjir pada 25 Julai.

Wilayah selatan, terutama Songkhla dan Narathiwat, kini dilanda banjir kilat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain