suria

Jambatan Runtuh: Empat Mati, 16 Hilang

JAKARTA: Empat orang disahkan mati dan sekurang-kurangnya 16 lagi dilapor hilang apabila sebuah jambatan gantung di Kalimatan Timur runtuh ke dalam sungai Sabtu petang.

Jambatan Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur runtuh pada kira-kira pukul 4.30 petang waktu tempatan ketika kenderaan sedang sesak menggunakannya, mengakibatkan ada kenderaan terjunam bersama bahagian jambatan yang roboh itu ke dalam Sungai Mahakam.

Saluran Berita TV, Metro TV melaporkan Ahad bahawa sejumlah 39 orang berjaya diselamatkan namun masih terdapat percanggahan tentang bilangan sebenar mangsa yang hilang.

Ini kerana ada pihak keluarga melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 24 orang masih hilang dalam kejadian itu, kata laporan itu. Jambatan Kutai Kartanegara yang merentangi Sungai Mahakam, merupakan satu daripada jambatan gantung terpanjang di Indonesia.

Bahagian yang tergantung tanpa penyangga adalah sepanjang kira-kira 270 meter. Jambatan itu berukuran 710 meter panjang. Laporan berita TV itu berkata sejumlah 60 anggota anggota pasukan pencari dan penyelam dari brigade komando Polis Kalimantan Timur sedang berusaha mencarai mangsa, bagaimanapun operasi itu terganggu oleh arus deras Sungai Mahakam.

Jumlah kenderaan yang tenggelam dan hanyut oleh arus Sungai Mahakam belum diketahui dengan pasti.

Sementara itu agensi berita Antara memetik saksi yang turut menyatakan bahawa sejumlah kenderaan turut tenggelam dalam Sungai Mahakam ketika jambatan itu runtuh.

"Pertama saya mendengar bunyi petir, lalu diikuti bunyi seperti benda jatuh ke air dengan kuat. Ketika saya keluar rumah, banyak orang cemas dan berkata jambatan roboh. Akhirnya saya langsung melihat ke sana, ternyata benar, jambatannya sudah runtuh," kata Farida, penduduk Tenggarong Seberang yang rumahnya tak jauh dari jambatan itu.

Farida berkata banyak saksi yang melihat terdapat banyak motosikal dan sejumlah kereta yang sedang melintasi jambatan itu semasa ia roboh, jatuh ke dalam sungai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain