suria

Wartawan Wanita Ditahan Berhubung Kes Bunuh Wartawan Kanan

NEW DELHI: Polis Mumbai pada Jumaat menahan seorang wartawan wanita, didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah India, berhubung pembunuhan seorang wartawan kanan meja jenayah.

Wartawan yang berpangkalan di Mumbai itu disyaki telah memberikan maklumat penting kepada ketua kumpulan penjenayah itu, dipercayai dalang kes pembunuhan wartawan Jyotirmoy Dey pada 11 Jun lalu.

Dey, 56, wartawan penyiasatan dengan akhbar MidDay, ditembak pada siang hari oleh empat pembunuh yang menunggang motosikal semasa beliau sedang dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Powai, pinggir bandar Mumbai.

Media tempatan melaporkan wartawan wanita itu telah memberikan nombor pendaftaran motosikal Dey dan alamat rumahnya kepada gangster paling dikehendaki di India, Chhota Rajan.

Pembunuh upahan Rajan disyaki melaksanakan tugas membunuh Dey, yang diketahui telah mendedahkan kegiatan jenayah kumpulan penjenayah India itu sebelum ini.

Tiada butiran lanjut didedahkan mengenai suspek, yang bertugas dengan sebuah akhbar perdana berbahasa Inggeris dan setakat ini polis Mumbai menahan 11 suspek berhubung kes bunuh itu. - BERNAMA

Artikel Lain