suria

Remaja Australia Dipenjarakan Di Bali

BALI: Seorang remaja Australia berusia 14 tahun dihukum penjara selama dua bulan pada Jumaat, kerana kesalahan membeli dadah semasa sedang bercuti bersama keluarganya di pusat peranginan terkenal di Indonesia tersebut.

Hakim Amzer Simanjuntak berkata, mengambil kira tempoh remaja itu telah ditahan, dia akan dibebaskan selepas seminggu dan akan terus dihantar pulang ke negara asalnya selepa itu.

Remaja terbabit - yang tidak didedahkan namanya atas faktor usia - dilihat menundukkan kepala dan menangis serta ditenangkan oleh ayahnya semasa hakim membacakan keputusan di Mahkamah Daerah Denpasar yang dipenuhi oleh orang ramai.

Walaupun remaja itu boleh dihukum penjara sehingga 12 tahun di bawah undang-undang Indonesia, panel tiga hakim bersetuju untuk menjatuhkan hukuman ringan.

Ia ekoran pengakuan salah remaja itu atas kesalahan membeli 3.6 gram ganja daripada seorang lelaki di hadapan sebuah pasar raya, selain keadaan remaja itu yang menunjukkan kekesalannya.

Remaja itu yang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen sejak 14 Oktober lalu juga berjanji akan menyertai program pemulihan apabila dia dibenarkan pulang ke rumahnya di Morrisset Park, Utara Sdyney.

Dia juga mengakui sedang bergelut dengan ketagihan yang dialaminya.

Sementara itu, penduduk Australia mengikuti perkembangan prosiding mahkamah remaja terbabit dengan penuh minat, kerana ramai warga Australia dipenjarakan atau dijatuhkan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah di Indonsia.

Ramai yang berpendapat remaja terbabit terlalu muda untuk dihantar ke penjara. - AP

Artikel Lain