suria

Pemerintah Tentera Mesir Mohon Maaf & Segera Meterai Damai Dengan Demonstrator

KAHERAH: Pemerintah tentera Mesir, pada Khamis telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada seluruh rakyat negara itu kerana gagal mengendalikan para demonstrator sehingga membawa kepada 38 kematian.

Dalam pada itu, 'perjanjian damai' di antara pihak berkuasa dengan pengendali demonstrasi telah kembali membawa ketenangan di Medan Tahrir - tempat yang berlangsungnya protes dan pertembungan di antara orang ramai dengan polis.

"Satu persetujuan telah tercapai di antara pihak berkuasa dengan pihak yang mengadakan protes agar pertelingkahan dapat dihentikan," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kabinet kerajaan sementara Mesir.

Sekurang-kurangnya 38 orang telah disahkan terbunuh sejak demonstrasi berlangsung Sabtu lalu manakala lebih 2,000 orang lagi tercedera.

"Majlis Tertinggi Angkatan Tentera dengan ini ingin memohon maaf serta menyatakan kekesalan di atas apa yang berlaku di Medan Tahrir," kata kenyataan itu lagi.

Rakyat Mesir yang kebanyakkannya terdiri daripada golongan muda dan profesional telah kembali ke Medan Tahrir untuk menuntut agar pemerintahan tentera ditamatkan dengan serta merta dan Field Marshal Hussein Tantawi, bekas menteri pertahanan pada era Hosni Mubarak yang kini merupakan orang yang bertanggungjawab mengendalikan urusan negara menyerahkan kuasanya kepada rakyat.

Permohonan maaf dari pihak tentera dibuat selepas Tantawi muncul di kaca televisyen Selasa lalu menyeru agar para demonstrator menghentikan protes mereka di Medan Tahrir.

Malangnya beliau dikritik teruk kerana gagal menyatakan walaupun sebaris rasa kesal di atas kematian rakyat Mesir yang ditembak oleh polis pencegah rusuhan.

Kritikan ini turut dilemparkan oleh Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayyeb yang menyeru pihak berkuasa Mesir agar tidak mengacukan senapang ke arah rakyat atas apa jua alasan sekali pun.

Dalam siaran televisyen Selasa lalu, Tantawi telah memberi jaminan bahawa pilihan raya presiden akan diadakan selewat-lewatnya Jun depan - enam bulan lebih awal dari tarikh asal yang ditetapkan selepas kejatuhan Mubarak.

Tantawi bagaimanapun menegaskan bahawa beliau juga bersedia untuk melepaskan jawatan dengan segera melalui satu referendum, jika itulah yang diinginkan oleh rakyat Mesir.

Artikel Lain