suria

K'jaan UK Panggil Staf Kedutaan dan Kakitangan Awam Lain Ganti Pegawai Imigresen

LONDON: Kerajaan Britain kini sedang memanggil pulang beberapa staf kedutaan dan kakitangan awam dari jabatan yang lain sebagai persediaan mengantikan pegawai imigresen yang dikhuatiri mengambil bahagian dalam mogok di seluruh negara minggu depan.

Agensi Sempadan Britain yang merupakan agensi penguatkuasaan imigresen telah menghubungi staf imigresen yang ditempatkan di kedutaan UK di India, Afrika Selatan dan Rusia dan bertanya apakah mereka bersedia untuk kembali buat sementara ketika mogok itu berlangsung Rabu depan.

Sejumlah 18,000 pegawai imigresen dijangka mengambil bahagian dalam mogok kerana tidak berpuashati dengan isu pencen yang menurut para pegawai kesatuan bakal menjadi mogok terbesar kakitangan awam sejak beberapa generasi lalu.

Jika sebahagian besar pegawai imigresen ini benar-benar mengambil bahagian dalam mogok tersebut, semua pintu masuk ke Britain akan mengalami kesesakan dan kekacauan besar Rabu depan.

"Keselamatan di pintu masuk Britain sentiasa menjadi keutamaan kami dan kami sedang melihat semua opsyen yang ada bagi memastikan segala kesulitan dan keselamatan terus terkawal sepanjang mogok itu berlangsung," kata seorang jurucakap Agensi Sempadan UK.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Awam dan Komersil Britain, Mark Serwotka berkata, pihak kesatuan membantah keputusan kerajaan untuk menaikkan had minima umur pencen kakitangan awam sebanyak enam tahun lagi iaitu dari 60 tahun kepada 66 dan pelbagai isu lagi berkaitan pencen dan potongan sumbangan kakitangan awam dari gaji mereka.

Artikel Lain