suria

Pernikahan Anak Presiden Indonesia Menggabung Adat, Mengerat Hubungan Politik

JAKARTA: Hari ini di Istana Cipanas, Cianjur, Jawa Barat, satu daripada beberapa Istana Presiden Indonesia, Edhie Baskoro Yudhoyono yang lebih mesra dengan panggilan Ibas dan Siti Rubi Aliya Rajasa dinikahkan mengikut adat istiadat Palembang.

Pernikahan putera kedua Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dengan puteri Menteri Penyelaras Bidang Perekonomian Hatta Rajasa, unik kerana ia bukan sahaja memperlihat keragaman adat istiadat Indonesia, malah turut mengeratkan hubungan keluarga dua pemimpin parti politik itu.

Hatta, yang berasal dari Palembang, Sumatera Selatan ialah pemimpin Parti Amanat Nasional (PAN), parti kelima terbesar dalam kerajaan gabungan pimpinan Susilo dari Parti Demokrat.

Upacara hari ini adalah kemuncak kepada rangkaian istiadat yang telah bermula sejak dua hari lalu mengikut adat Jawa yang juga unik seperti adat bersiram yang dilakukan kepada kedua-dua pengantin secara berasingan oleh kedua-dua ibu bapa mereka di rumah masing-masing.

Ini diikuti dengan adat midodareni atau pertemuan antara kedua-dua keluarga pengantin yang dilangsungkan di rumah Hatta di Fatmawati, Jakarta Selatan pada sebelah malamnya.

Istana Cipanas dipilih sebagai tempat upacara akad nikah kerana di situlah menguntumnya cinta Ibas dan Aliya, ketika mereka pertama kali bertemu pada satu acara keraian.

Hari ini juga ialah ulang tahun kelahiran Ibas yang ke-31.

Pada 26 April lalu Ibas melamar Aliya sebagai calon isterinya, yang tepat jatuh pada hari ulang tahun kelahiran Aliya yang ke-25.

Upacara akad nikah hari ini berjalan lancar dengan Ibas dan Aliya disahkan sebagai pasangan suami isteri, hanya dengan sekali lafaz.

Pasangan itu yang mengenakan pakaian mengikut adat Palembang dinikahkan sendiri oleh bapa Aliya, Hatta pada pukul 10.15 pagi dengan disaksikan oleh Naib Presiden Indonesia, Boediono dan bekas Ketua Majlis Perwakilan Rakyat, Amien Rais.

Selepas selesai acara ijab dan kabul, Ibas menyerahkan mas kahwin berupa wang siling emas seberat 100 gram dan kelengkapan solat kepada Aliya dan melakukan upacara batal wuduk dengan menyentuh kening isterinya dengan ibu jari dan dibalas dengan ciuman di tangannya oleh Aliya.

Upacara penuh warna warni itu disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen tempatan dengan dihadiri tetamu kehormat yang terdiri daripada anggota Kabinet Indonesia, tokoh politik, perwakilan asing termasuk Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan.

Sabtu ini, Ibas dan Aliya akan diraikan pada majlis resepsi di Pusat Konvensyen Jakarta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain