suria

Mugabe Bidas PM Britain Kerana Ugut Negara Yang Tak Iktiraf Hak Gay

HARARE: Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe telah membidas Perdana Menteri Britain, David Cameron kerana bersedia untuk menimbang mengenakan sekatan bantuan ekonomi ke atas mana-mana negara yang tidak menghormati hak golongan gay.

"Ia adalah perbuatan syaitan untuk seorang perdana menteri seperti Cameron yang berkata, mana-mana negara yang inginkan bantuan daripada Britain patut terlebih dahulu mengiktiraf homoseksualiti," kata Mugabe dalam satu ucapan, Rabu.

Ucapannya itu disiarkan oleh akhbar Herald milik negara tersebut.

Pada persidangan ketua-ketua negara Komanwel hujung bulan lalu di Australia, Cameron telah membuat kenyataan terbuka bahawa mana-mana negara yang mahukan bantuan British patut terlebih dahulu menghormati hak asasi manusia termasuklah hak golongan gay.

Mugabe memang dikenali sebagai seorang yang menolak sebarang usaha untuk meletakkan hak golongan gay di dalam perlembagaan negara dengan melabelkannya sebagai satu kerja 'gila'.

"Ini (homoseksualiti) adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan alam," Mugabe dipetik sebagai berkata.

Homoseksual adalah perbuatan yang haram di sisi undang-undang Zimbabwe walaupun persatuan gay dan lesbian dibenarkan.

Satu-satunya negara di benua Afrika yang memberi jaminan ke atas hak golongan gay ialah Afrika Selatan manakala 38 negara Afrika yang lain buat masa ini memiliki undang-undang yang menghukum perbuatan atau amalan homoseksualiti.

Rabu lalu, tiga lelaki gay di Cameroon telah dihukum penjara lima tahun kerana melakukan hubungan seks sesama jenis.

Manakala pada tahun 2009, Burundi telah memperkenalkan hukuman penjara ke atas mana-mana rakyatnya yang mengamalkan hubungan seks sesama jenis.

Pada Disember tahun lalu, pasangan gay di Malawi yang ditahan ketika sedang mengadakan majlis perkahwinan terbuka telah dihukum penjara 14 tahun sebelum mereka diberi pengampunan oleh Presiden Bingu wa Mutharika.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain