suria

Pemimpin Kanan Tidak Boleh Salahkan Pol Pot Sahaja

PHNOM PENH: Rakan sekutu Pol Pot tidak seharusnya menyalahkan Pol Pot seratus peratus terhadap kekejaman sepanjang pemerintahan rejim Khmer Rouge, kata pihak pendakwaan pada perbicaraan di tribunal tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini, Selasa.

Andrew Cayley berkata, seperti juga Pol Pot yang telah meninggal dunia, tiga lagi pemimpin kanan rejim tersebut yang kini sudah tua turut memainkan peranan pada pemerintahan rejim itu pada tahun 1975 hingga 1979.

“Semua tertuduh tidak boleh mengatakan mereka tidak tahu dan tidak mempunyai kawalan terhadap kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan yang mereka gelar Democratic Kampuchea,” katanya.

Dianggarkan 1.7 juta orang terkorban sama ada disebabkan kerana dihukum, kelapara, kehausan atau akibat tidak mendapat rawatan perubatan yang diperlukan ekoran polisi rejim Khmer Rouge.

Cayley berkata demikian pada hari kedua perbicaraan dan beliau menyambung semula ucapan pembukaan pihak pendakwaan.

Pada Isnin, pihak pendakwaan mengaitkan kekejaman yang dilakukan oleh rejim tersebut yang berhasrat bukan sahaja untuk menghapuskan musuh mereka, tetapi juga membunuh semangat kemanusian.

“Jenayah yang berlaku adalah hasil daripada rancangan yang dilakukan oleh tertuduh dan pemimpin-pemimpin yang lain serta dilaksanakan secara bersistematik.

“Mereka tidak boleh hanya menyalahkan Pol Pot seperti yang mungkin akan dilakukan oleh tertuduh-tertuduh,” kata Cayley.

Tertuduh dalam kes tersebut adalah orang kanan Pol Pot, Nuon Chea, 85; bekas Presiden, Khieu Samphan, 80; bekas Menteri Luar, Ieng Sary, 86.

Pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka adalah melakukan jenayah kemanusiaan, selain pelbagai jenayah lain mengikut undang-undang antarabangsa dan Kemboja, termasuk pembunuhan, perhambaan, penindasan agama dan layanan tidak berperikemanusiaan.

Semua tertuduh telah berusia lanjut dan ada yang bimbang mereka tidak akan hidup lama untuk keadilan dilaksanakan.

Tertuduh keempat, Ieng Thirith, 79, pula sebelum ini diputuskan tidak layak untuk dibicarakan kerana menghidap Alzheimer.

Ieng Thirith adalah isteri kepada Ieng Sary dan pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.

Dia kini ditahan sementara menunggu keputusan mahkamah terhadap rayuan yang dibuat oleh pihak pendakwaan terhadap keadaan kesihatannya.

Salah seorang peguam kepada Ieng Sary, Michael Karnavas pada Selasa, memohon agar anak guamnya dibenarkan mengikuti perbicaraan daripada sebuah bilik lain di luar mahkamah bagi mengurangkan tekanan yang dihadapinya.

Bagaimanapun, permohonan tersebut ditolak oleh Hakim Nil Non yang berpendapat adalah penting untuk semua tertuduh berada di mahkamah bagi mendengar ucapan pembukaan pihak pendakwaan. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3,000 Polis Australia Adakan Protes

Artikel Lain