suria

Menteri Jelas Keputusan Singapura Tidak Mengundi Palestin

SINGAPURA: Menteri Luar Singapura K. Shanmugam menjelaskan di Parlimen sebab disebalik keputusan republik itu untuk berkecuali daripada mengundi untuk memberikan status anggota penuh kepada Palestin dalam Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Shanmugam, yang juga Menteri Undang-undang berkata Singapura selama ini menyokong penubuhan negara Palestin sebagai sebahagian penyelesaian rundingan dua negara yang akan menyaksikan Israel dan Palestin hidup berjiran secara aman dan selamat.

"Tetapi dalam penghakiman kami, langkah baru-baru ini untuk memberikan status anggota penuh kepada Palestin dalam Unesco tidak akan menyumbang kepada penyelesaian itu," katanya dalam jawapan bertulis kementerian itu mengenai keanggotaan Palestin dalam Unesco.

Singapura ialah sebuah daripada 52 negara yang berkecuali daripada mengundi untuk menerima masuk Palestin ke dalam Unesco.

"Kami faham dan bersimpati dengan hasrat Palestin untuk menjadi anggota Unesco.

"Tetapi permohonan itu tidak boleh dipertimbangkan, selain daripada konteks politiknya yang lebih luas. Lebih penting lagi, ia juga persoalan sama ada ia akan membantu atau menghalang misi utama Unesco dalam menggalakkan pendidikan, sains dan kebudayaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3,000 Polis Australia Adakan Protes

Artikel Lain