suria

Krisis Banjir: Yingluck Minta Pihak Berkuasa Ambil Kira Pandangan Rakyat

BANGKOK: Ketika perbalahan antara pihak berkuasa dan rakyat Thailand semakin memuncak tentang cara untuk menangani krisis banjir di negara ini, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra meminta pihak berkuasa tidak mengetepikan pandangan masyarakat berhubung perkara itu.

Beliau berkata kedua-dua pihak perlu menyelesaikan perbezaan pendapat di meja rundingan dan pihak berkuasa perlu menyesuaikan strateginya dengan keperluan masyarakat.

"Saya memahami kedudukan mereka. Contohnya, ada yang tidak mahu kawasan mereka dilanda banjir sekali lagi, manakala ada pula yang mahukan air bah di kawasan mereka disalirkan dengan cepat," katanya kepada pemberita di sini.

Bagaimanapun, kata beliau, masalah banjir yang berlarutan sejak empat bulan lepas itu tidak boleh diselesaikan secara holistik sekiranya setiap komuniti mengutamakan kepentingan mereka semata-mata.

Ketegangan semakin meningkat kebelakangan ini apabila sesetengah penduduk menolak strategi pihak berkuasa dalam menangani masalah banjir yang berlarutan di kawasan mereka.

Mereka yakin strategi yang dilaksanakan pihak berkuasa menyebabkan kawasan mereka menjadi korban, semata-mata untuk memastikan kawasan lain tidak dilanda banjir.

Tanggapan itu mendorong anggota masyarakat memecah pintu air, merosakkan benteng penahan banjir, mengemukakan cara penyelesaian mengikut pandangan mereka, memberi kata dua kepada pihak berkuasa dan menuntut pampasan lebih tinggi.

Yingluck berkata pihak berkuasa perlu mencari jalan untuk mengalirkan air banjir ke laut dan bukan hanya menyekatnya daripada sampai ke kawasan tertentu.

Satu perempat dari negara ini masih ditenggelami air yang menjejaskan kehidupan lima juta penduduk di 17 wilayah di bahagian utara dan tengah Thailand apabila banjir terburuk dalam lima dekad ini melanda secara berperingkat sejak 25 Julai.

Bencana alam itu telah meragut 610 nyawa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3,000 Polis Australia Adakan Protes

Artikel Lain