suria

Pelarian Bertemu Dengan Anak Selepas 34 Tahun Terpisah

ROCHESTER (New York): Seorang pelarian Perang Vietnam yang terselamat daripada serangan lanun pada tahun 1977 yang memisahkan dia dan isteri serta anak lelakinya yang masih bayi bertemu semula pada Isnin, di sini selepas 34 tahun terpisah.

Hao Truong tercampak ke Laut China Selatan selepas bot yang dinaikinya dan keluarga untuk ke Thailand pada Disember 1977 diserang lanun.

Hao berkata, dia terapung selama 16 jam sebelum diselamatkan oleh bot menangkap ikan.

Seminggu selepas berada di kem pelarian di Thailand, Hao mendapat berita bahawa isterinya meninggal dunia dan mayatnya terlantar di pantai bersama-sama dengan mayat wanita-wanita lain.

Bagaimanapun, nalurinya mengatakan anaknya, Kham yang semasa itu hanya berusia tujuh bulan terselamat dan dibesarkan oleh orang lain.

Hao kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1978 dengan dibantu oleh bapa saudaranya yang menetap di Louisiana.

Hao mula mencari Kham dengan bantuan seorang pekerja sosial pada Jun lalu, selepas mendapat berita bahawa anaknya mungkin mungkin masih hidup dan kini dikenali sebagai Samart Khumkhaw, yang menetap di wilayah Surat Thani.

Kham yang telah berusia 34 tahun juga merupakan bapa kepada dua orang anak.

“Pada saat ini, saya sangat teruja dan gembira,” kata Hao yang berdiri di sebelah anaknya di Lapangan Terbang Rochester sambil ditemani oleh saudara-maranya yang melambaikan bendera kecil AS dan belon tertera perkataan ‘Selamat Kembali’.

“Kami akan mengadakan sambutan Hari Kesyukuran yang paling meriah.

“Semasa saya bertemu dengannya di Thailand, saya tinggal dengannya selama seminggu.

“Di sana, kami tahu tentang satu sama lain tanpa ditanya seperti seolah-olah kami telah saling mengenali sejak lama dahulu.”

Senator AS, Charles Schumer membantu Hao mendapatkan visa lawatan untuk Kham, yang menyara hidup sebagai seorang tukang kayu untuk datang ke AS berseorangan bagi berjumpa dengan keluarga bapanya.

Sepanjang menetap di AS untuk tempoh selama empat bulan, Khaw juga berhasrat untuk berjumpa dengan datuknya di Texas yang telah mencecah usia 86 tahun.

“Kami tidak mahu memisahkan dia (Khaw) terlalu lama dengan keluarganya.

“Dia tahu saya berniat mahu membawanya ke AS suatu hari,” kata Hao.

Pada penghujung tahun 1978, Hao berhijrah ke Roshester untuk bertemu dengan keluarga mendiang isterinya dan terus menetap di situ.

Dia kemudiannya berkahwin untuk kali kedua dan bekerja sebagai tukang besi selama 30 tahun sebelum bersara pada tahun 2009.

Pada usia 54 tahun, Hao menyambung semula pelajaran untuk mendapatkan ijazah dari kolej komuniti dan kekal bekerja sebagai pembuat mesin. Semasa empat hari berada dalam tawanan lanun sebelum dicampakkan ke dalam laut, Hao melihat krew kapal lanun terbabit sering memuji kecomelan Khaw.

“Itulah sebabnya mengapa dia tidak pernah memikirkan bahawa ada orang yang akan membunuh Khaw,” kata kakak Hao, Hong Truong.

Dalam keadaan Hao tidak mengetahui nasib Khaw, anaknya itu diserahkan kepada satu pasangan muda di Thailand yang baru sahaja kematian anak perempuan.

“Seorang wanita memberitahu pasangan tersebut bahawa dia mempunyai seorang anak lelaki dan bertanyakan jika mereka mahu menjaganya.

“Wanita itu bersetuju untuk menjaga Khaw sebaik sahaja melihatnya, tetapi tidak boleh bertanyakan dari mana bayi itu datang,” tambah Hong.

Lebih daripada 3 juta orang meninggalkan Vietnam semasa negara itu berada di bawah pemerintahan komunis, termasuk juga negara-negara jiran seperti Laos dan Kemboja selepas Perang Vietnam tamat pada tahun 1975.

Mereka belayar dalam bot yang kecil dan terdedah kepada bahaya bot tersebut karam ataupun diserang oleh lanun. - AP

Artikel Sebelum

Wartawan Turki Dibicarakan

Artikel Berikut

Artikel Lain