suria

Obama Gesa Penyapaduan Serantau Lancar

HONOLULU: Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-19 yang berakhir pada Ahad, menyaksikan hos, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, menggesa 21 negara anggota memperhalusi usaha untuk mewujudkan ekonomi serantau yang lancar demi untuk satu matlamat bersama yang akan memberi manfaat kepada tiga bilion penduduk.

Obama yang mengharapkan kejayaan penganjurkan APEC di ibu negara Hawai itu supaya meningkatkan peluangnya untuk meneruskan kepimpinan penggal kedua sebagai Presiden US, berkata tiga bidang penting perlu digiatkan untuk mencapai objektif itu - meningkatkan perdagangan dan pelaburan, mempromosi usaha projek mesra alam dan menyelaraskan peraturan yang akan menggalakkan perdagangan dan mewujudkan pekerjaan.

Bersama 18 pemimpin APEC yang lain, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memakai pakaian formal dan bukan baju Aloha seperti yang dijangkakan, Obama juga berkata prasyarat penting juga ialah bekerja bersama-sama untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih cepat.

"Negara di rantau ini mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam menangani ketidakseimbangan serta memastikan pertumbuhan seimbang dan mampan pada masa depan, kata Obama.

Presiden Mexico, Felipe Calderon dan Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra, tidak menghadiri APEC.

Sidang kemuncak tahun depan akan berlangsung di Vladisvostok, Rusia, bandar pelabuhan terbesar di Pasifik. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain