suria

Pembunuhan Pelajar Malaysia Tiada Motif Dendam

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia telah mengklasifikasi kejadian pembunuhan pelajar Malaysia Adrian Jay Pereira sebagai kes jenayah semata-mata dan tiada kaitan dengan motif lain termasuk balas dendam.

Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun berkata polis Indonesia sedang memburu dua suspek berhubung kejadian itu namun sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang tangkapan dibuat.

"Pihak Hospital Saiful Anwar, Malang, telah selesai menjalankan bedah siasat ke atas jasad Adrian pada pukul 2.45 petang waktu tempatan dan sedang menguruskan penyerahan mayat itu kepada Kedutaan Besar Malaysia untuk dihantar pulang ke tanah air," katanya ketika dihubungi di Malang.

Adrian, 23, ialah mahasiswa Fakulti Perubatan, Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur.

Ludinata berkata hasil bedah siasat itu menyimpulkan bahawa kematian Adrian disebabkan luka parah pada leher sebelah kanan akibat ditetak dengan objek tajam.

Katanya keluarga mendiang Adrian diwakili seorang bapa saudaranya dan seorang peguam tiba di Indonesia untuk melihat keadaan mayat beliau di hospital itu, Selasa.

Jasad Adrian akan dihantar pulang ke tanah air dengan pesawat Penerbangan Malaysia pada pukul 10.40 pagi waktu tempatan dari Lapangan Terbang Juanda, Surabaya dan dijadual sampai di KLIA, Sepang pada pukul 2.15 petang waktu Malaysia.

Ludinata berkata berdasarkan keterangan polis, kejadian yang menimpa Adrian bermula pada pukul 6.30 petang di rumahnya di bandar Malang, apabila beliau bersama dua rakan serumah terdengar bunyi bising di luar kediaman mereka.

Adrian yang keluar menyiasat tidak menemui apa-apa yang aneh namun beliau mengesyaki ada orang cuba mencuri motosikal yang baru dibelinya.

Pelajar itu kemudian berpesan kepada dua rakan serumahnya supaya mengunci pintu dan menunggu beliau di dalam rumah, sementara beliau menaiki motosikal untuk mencari pihak yang disyaki berniat jahat itu.

Tidak berapa lama kemudian selepas gagal menemui orang yang dicari, Adrian pulang semula ke rumah dan sejurus berhenti di luar rumah, beliau secara tiba-tiba diserang dengan tetakan di bahagian kanan lehernya dengan senjata tajam oleh orang yang tidak dikenali.

Semasa serangan itu, Adrian dilaporkan masih duduk di atas motosikalnya. Polis percaya dua penjenayah terlibat dalam kes itu.

Seramai 173 pelajar Malaysia sedang menuntut di Malang, pada masa ini dan daripada jumlah itu 161 orang belajar di Universiti Brawijaya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain