suria

Kawal Media Sosial Untuk Halang Manipulasi Pihak Tak Bertanggungjawab

JINAN (China): Negara-negara di rantau Asia Timur perlu menimbang untuk mengawal media sosial bagi memastikan entiti atau individu yang aktif dalam komuniti online (netizen) dipertanggungjawabkan atas sebarang salah laku dalam dunia siber, sebuah forum diberitahu pada Selasa.

Duta Besar Mutlak dan Istimewa, Kedutaan Indonesia di China, Imron Cotan, berkata “kita perlu memberi muka kepada pengamal media sosial yang tidak berwajah” agar mereka dapat dikenal pasti dan dikenakan tindakan punitif bagi sebarang manipulasi media.

Beliau berucap pada Forum Kerjasama Media Keempat 10+3 yang dianjurkan akhbar utama China, People’s Daily dan dihoskan oleh syarikat media Dazhong News Group di sini.

Lebih 50 wakil media utama dari 10 negara anggota Asean, China, Jepun dan Korea Selatan menghadiri forum sehari itu bagi membincangkan cara untuk saling bekerjasama dan bersatu selain meningkatkan peranan sebagai satu-satunya suara dari rantau ini dalam pentas media antarabangsa.

Cotan berkata dengan pengawalan sedemikian individu yang aktif dalam online atau "netizen" ini akan " berhati-hati dengan apa yang mereka ungkapkan" apabila menyuarakan pandangan dan bertanggung jawab dengan fakta dan data mereka, yang membawa kepada sebuah masyarakat ruang siber yang boleh dipercayai dan terikat dengan undang-undang.

Beliau berkata pemilik media sosial yang tidak berwajah ini seperti pemegang akaun facebook, twitter dan penulis blog, boleh menyelamatkan diri daripada sebarang tindakan undang-undang jika mereka memberikan maklumat palsu dan menyeleweng, kepada orang awam.

Beliau berkata mereka hanya muncul dalam skrin siber apabila melihat isu-isu yang boleh dimanipulasi dan menghilangkan diri apabila itu-isu itu berakhir tanpa sebarang perasaan bersalah atas ulasan mereka yang boleh membawa masalah kepada orang ramai atau sesebuah masyarakat.

Bagaimanapun, Cotan berkata pengawalan media sosial tidak sepatutnya dibuat bagi membendung perdebatan sihat di kalangan mereka yang aktif dalam online.

Menteri Muda di Pejabat Majlis Negeri Wang Zhongwei berkata pengamal media Asia perlu memainkan peranan aktif dalam menggalakkan hubungan harmoni antara negara-negara mereka dengan mengambil kesempatan daripada media dengan menyediakan berita mereka sendiri dan tidak bergantung kepada laporan yang dikuasai media Barat.

Beliau berkata mereka perlu membuat lebih banyak liputan mengenai budaya dan tradisi mereka, dan pembangunan manusia bagi menjadikan orang ramai lebih memahami antara satu sama lain, dan juga meningkatkan kerjasama dan hubungan di kalangan negara masing-masing.

Zhongwei juga berkata mereka perlu mengambil kesempatan daripada media baru untuk meningkatkan lagi pertukaran idea di kalangan mereka bagi mengembang dan membangunkan rantau Asia dan menyebarluaskan impian mereka bagi membolehkan masyarakat dunia memahami dan belajar daripada mereka.

Semasa perbincangan meja bulat, beberapa wakil media Asean menyuarakan kebimbangan mereka berhubung cabaran yang ditimbulkan oleh media baru dalam akhbar, televisyen, stesen radio dan agensi-agensi berita mereka, yang mana jika tidak ditangani boleh membawa kepada keruntuhan mereka.

Pemangku Timbalan Pengarang Borneo Bulletin, sebuah akhbar harian berpangkalan di Brunei, Lance Thoo Sin Lin berkata walaupun terdapat serangan hebat oleh media sosial, ia adalah terlalu awal untuk mengetepikan sesuatu yang bersifat tradisional kerana apa yang paling penting sekarang kepada orang ramai adalah kandungan yang tepat dan boleh dipercayai, yang mana petanding tidak dapat menyediakannya.

Beliau berkata bagi menghadapi cabaran daripada media baru, media tradisional perlu bersedia menyerap inovasi, membina aplikasi berdasarkan kepada peralatan bergerak, mengambil wartawan yang mahir dan profesional, dan membuat kehadiran laman web mereka dirasai.

Pengamal media berkenaan akan melawat bandar Zibo dan Qingdao beberapa hari lagi untuk melihat zon ekonomi berteknologi tinggi sebagai sebahagian daripada program forum yang berakhir Sabtu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain