suria

Polis Siasat Asap Tebal Sebagai Punca Kemalangan

LONDON: Pihak polis sedang menyiasat sama ada kemalangan melibatkan 34 buah kenderaan yang mengorbankan tujuh individu manakala 51 yang lain cedera berpunca daripada pertunjukan bunga api di kawasan berhampiran dengan lokasi kemalangan.

Ia ekoran keterangan saksi yang melihat asap hitam yang berkemungkinan menjadi punca kemalangan, meskipun laporan awal mengaitkan kabus dan keadaan jalan yang basah sebagai punca kemalangan.

Pasukan penyelamat menyifatkan kemalangan tersebut sebagai satu daripada kemalangan terburuk yang pernah berlaku di negara itu.

"Kami percaya daripada apa yang diberitahu oleh saksi, ia adalah disebabkan asap dan bukannya kabus.

"Pemandu yang memasuki kawasan yang diliputi asap tebal berkata adalah mustahil untuk mereka memandu dan sudah pasti menyebabkan mereka menekan brek," kata Timbalan Ketua Konstabel Polis Avon dan Somerset, Anthony Bangham kepada media.

Kemalangan yang berlaku pada malam Jumaat lalu di lebuhraya barat daya England menyebabkan berpuluh-puluh kereta dan trak perindustrian terbakar, menyebabkan pasukan penyelamat sukar untuk menghampiri kenderaan terbabit.

Pertunjukan bunga api di kelab ragbi berhampiran adalah satu aktiviti yang dianjurkan pada hujung minggu bagi menandakan Hari Guy Fawkes sebagai peringatan kepada aktivis Inggeris terbabit yang pernah cuba meletupkan Parlimen pada abad ke-17.

Semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut juga telah selesai dialihkan dan sebahagian lebuh raya terbabit telah dibuka semula. -AP

Artikel Lain