suria

Banjir Semakin Hampiri Tengah Bangkok

BANGKOK: Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata kerajaan akan cuba mengurangkan air banjir di bandar raya ini, yang sedang menuju ke tengah Bangkok. Katanya antara langkah yang akan diambil ialah mengawal pembukaan pintu air dan membina tembok daripada kampit pasir di utara Bangkok.

"Dalam melaksanakan usaha ini, kerajaan menghadapi beberapa cabaran berikutan kenaikan paras air laut dan kerosakan benteng penebat banjir," katanya.

Pengarah Pusat Operasi Bantuan Banjir (FROC) Jen Pracha Promnok, yang juga Menteri Keadilan, berkata bahagian tengah Bangkok tidak dapat mengelak daripada dilanda banjir dalam tempoh terdekat apabila air masuk ke dalam sistem perparitan.

"Kira-kira 1 bilion meter padu air larian dari utara Bangkok sedang menuju ke beberapa daerah di ibu negara ini," katanya.

Berikutan keadaan banjir yang semakin buruk di barat Bangkok hari ini, Pentadbiran Metropolitan Bangkok mengeluarkan perintah agar semua penduduk di daerah Bang Kae berpindah tengah hari Khamis. Gabenor Bangkok Sukhumbhand Paribatra berkata banjir juga merebak ke daerah Bon, Bangkok Noi dan Phasicharoen di barat Bangkok, manakala air semakin naik di daerah Chatuchak, di utara bandar raya ini.

Beliau meminta penduduk mengalihkan harta benda masing-masing ke tempat lebih tinggi. Beberapa kawasan di Lad Prao di utara Bangkok turut dinaiki air, manakala kawasan timur Bangkok terus dilanda bah.

Kebanyakan kawasan yang bersempadan dengan bahagian tengah bandar raya ini sudah dinaiki air.

Yingluck merayu orang ramai supaya tidak meruntuhkan tembok penahan banjir dan pintu air kerana perbuatan itu bukan saja tidak akan mengurangkan paras banjir di kawasan mereka, malah akan memburukkan lagi keadaan.

"Kami faham orang ramai tertekan apabila menghadapi banjir, tapi mereka perlu yakin dengan kemampuan pihak berkuasa untuk menangani krisis ini, bukan mengganggu kerja pihak berkuasa," katanya.

Penduduk di beberapa wilayah telah merosakkan tembok penahan banjir dan pintu air sebagai percubaan untuk mengurangkan banjir di kawasan masing-masing kerana beranggapan kawasan mereka dijadikan korban sejak beberapa minggu lepas untuk menyelamatkan kawasan lain daripada dinaiki air.

Kira-kira satu pertiga daripada negara ini masih dilanda banjir dengan 2.1 juta orang dari lebih 10,000 kampung di 25 wilayah, terjejas oleh bencana alam itu, yang melanda Thailand secara berperingkat sejak 25 Julai.

Jumlah kematian akibat banjir pula meningkat kepada 437 pada Khamis. - BERNAMA

Artikel Berikut

Gempa Bumi Kuat Landa Mexico

Artikel Lain