suria

Malaysia Harap Jadi Hab Pengeluar Alat Ketenteraan Dengan Kerjasama Asean

SINGAPURA: Malaysia berharap untuk menjadi hab pengeluar peralatan ketenteraan di bawah kerjasama pertahanan rantau Asean yang akan membolehkan negara anggota menjimatkan kos pembiayaan peralatan itu yang kini agak tinggi, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Pada tahun lalu sahaja rantau Asean membelanjakan US$25 bilion khusus untuk pembelian aset dan peralatan ketenteraan.

"Pada Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM) di Bali minggu lepas, Malaysia telah mengemukakan usul bahawa kaedah terbaik adalah untuk mengeluar dan membina sendiri aset ketenteraan di kalangan negara Asean dan (cadangan) ini telah diterima sebagai Dasar ADMN," katanya kepada pemberita Malaysia selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di sini pada Isnin.

"Kita telah mengusulkan Malaysia sebagai hab tanpa mengetepikan negara lain dalam mengeluarkan komponen yang dipanggil subsistem bagi projek pertama," kata beliau.

Ahmad Zahid berkata sebagai contoh, Malaysia telah mengadakan perbincangan untuk mengeluarkan kereta perisai mengangkut dengan Indonesia.

"Kemungkinan kita akan menjalin satu bentuk kerjasma dengan 10 negara Asean dalam membangun aset sedemikian. Perbincangan tidak mencapai kesimpulan tetapi secara umum untuk kepentingan bersama," katanya.

Ahmad Zahid yang dalam lawatan rasmi di sini sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan (Peraturan Pertahanan Lima Negara) (FPDA) dan ulangtahun ke-40 FPDA, sebelum itu turut melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatan Singapura Dr Ng Eng Hen.

FPDA terdiri daripada United Kingdom, New Zealand, Singapura, Malaysia, dan Australia.

"Ini ulangtahun yang penting, di mana 4,000 anggota dan pegawai lima negara terlibat, memperlihat aset-aset lima negara.

"Apa yang penting adalah memperlihat FPDA masih relevan, komitmen kelima-lima negara dalam menangani isu-isu pertahanan serantau dan antarabangsa," katanya.

Ahmad Zahid berkata beberapa latihan bersama kelima-lima negara diadakan untuk mengemas kini maklumat dan kaedah terbaru dalam operasi ketenteraan di samping perbincangan untuk kerjasama serantau bagi mewujudkan komuniti keselamatan Asean pada 2015.

"Kita merasakan bahawa kerjasama di kalangan negara Asean menjadi penting kerana kita mahu menterjemahkan bahawa rantau Asean adalah stabil dan kukuh dari segi keselamatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain