suria

Iran Perjelas Tujuan Penubuhan Kesatuan Akhbar Dunia Islam

TEHERAN: Matlamat utama penubuhan Kesatuan Akhbar Dunia Islam ialah untuk menggabungkan media Islam dari seluruh dunia, kata Timbalan Menteri Kebudayaan dan Bimbingan KeIslaman Iran Mohammad Ja'far Mohammadzadeh.

Beliau berkata langkah itu diambil berikutan tindakan kuasa Barat menjadikan Islam sebagai musuh utama mereka selepas perpecahan Kesatuan Soviet.

Katanya Iran mengambil inisiatif menubuhkan kesatuan itu kerana menyedari tiada negara Islam lain tampil ke hadapan untuk menyatupadukan media Islam bagi menentang laporan negatif media Barat tentang Islam.

"Penubuhan kesatuan ini akan membantu dunia lebih memahami Islam, manakala suara dunia Islam pula akan diberi perhatian serius," katanya kepada wakil media dari negara Islam yang menghadiri Persidangan Kesatuan Akhbar Dunia Islam di sini Jumaat malam.

Tiga puluh lima pengamal media Islam, termasuk editor kanan dan editor dari 50 negara menghadiri persidangan yang julung kali diadakan itu.

Satu kelemahan yng dapat dilihat dengan ketara berhubung penganjuran persidangan ini ialah walaupun para wakil media telah tiba di bandar raya ini sejak Isnin, tiada sebarang taklimat diberi kepada mereka mengenainya perjalanannya kelak.

Ketika mengakui kelemahan itu, Mohammadzadeh berkata mesyuarat kesatuan ini pada masa depan akan dikendalikan dengan lebih teratur dan satu laman web akan diwujudkan untuk memudahkan anggotanya mendapatkan maklumat terkini tentang kegiatan kesatuan itu.

Beberapa jawatankuasa kecil juga akan ditubuhkan untuk memperkemaskan operasi kesatuan ini, termasuk menganjurkan bengkel untuk meningkatkan pengetahuan para wartawan ke arah mencapai objektifnya.

"Apabila semuanya berjalan lancar, kami akan tandatangani satu memorandum persefahaman dengan negara terbabit untuk memastikan wujudnya rangkaian yang lebih mantap dalam kalangan anggota kesatuan ini," kata Mohammadzadeh.

Beliau berkata Iran juga menyarankan kepada pertubuhan media Islam antarabangsa supaya menubuhkan rangkaian sosial yang boleh memberi manfaat kepada umat Islam sejagat. Iran akan menjadi tuan rumah persidangan ini setiap tahun. - BERNAMA

Artikel Lain