suria

Singapura Sedia Lancar Rangkaian Jalur Lebar Generasi Baru Di Seluruh Negara

SINGAPURA: Singapura sudah bersedia untuk melancarkan Rangkaian Jalur Lebar Seluruh Negara Generasi Baharu, satu rangkaian gentian optik berkelajuan ultra tinggi yang menawarkan kelajuan akses jalur lebar hingga 100 kali lebih pantas daripada rangkaian awam terpantas hari ini.

Ketika mengumumkan demikian , Menteri Negara Kanan Penerangan, Komunikasi dan Kesenian & Alam Sekitar dan Sumber Air, Grace Fu, berkata rangkaian jalur lebar baharu ini akan menyokong lebih banyak perkhidmatan media, seperti perkhidmatan interaktif dan aplikasi multimedia yang ditawarkan melalui IPTV.

"Warga Singapura menerima kemungkinan-kemungkinan baharu yang ditawarkan oleh Internet ini dengan bersemangat.

"Dalam enam bulan pertama tahun ini, daripada empat peti TV yang dijual di Singapura adalah TV pintar. TV pintar membolehkan pengguna mencapai pelbagai kandungan Internet dari rumah," katanya dalam ucapannya pada persidangan Penyiar Awam Antarabangsa (PBI) di sini Khamis.

Persidangan anjuran MediaCorp, dan diadakan di Singapura buat julung-julung kalinya itu disertai oleh 200 penyiar perkhidmatan awam antarabangsa dan anggota perwakilan.

PBI yang menjangkau usia 20 tahun itu mengumpul pakar industri untuk membincangkan cabaran-cabaran landskap media yang sentiasa berubah-ubah dan menjadi platform bagi penyiar awal berkongsi pengalaman dan amalan terbaik. - BERNAMA

Artikel Lain