suria

Seluruh Bangkok Siap Sedia Hadapi Banjir

BANGKOK: Persiapan akhir secara habis-habisan telah dibuat di seluruh bandar raya ini pada Khamis untuk menghadapi banjir besar yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.

Dalam perkembangan mengejutkan, media tempatan, melalui saluran dalam taliannya, melaporkan hari ini bahawa Markas Operasi Bantuan Banjir (FROC) menasihati orang ramai supaya meninggalkan ibu kota Thailand ini untuk mengelak ditimpa kejadian tidak diingini.

Laporan menyebut bahawa saranan itu dikeluarkan kerana mengikut jangkaan, limpahan air banjir dari utara akan melanda bandar raya ini dalam tempoh terdekat dan keadaan bertambah buruk apabila air laut akan pasang tinggi mulai esok hingga Isnin depan.

Tinjauan Bernama mendapati terminal bas, stesen teksi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi mengalami kesesakan luar biasa hari ini apabila ramai penumpang ingin menaiki pesawat untuk keluar dari ibu negara Thailand ini.

Banjir tidak melanda seluruh bandar raya ini malam tadi seperti yang diramalkan Pihak Berkuasa Metropolitan Bangkok, tetapi merebak ke Sai Mai di utara bandar raya ini, hingga mendorong Dewan Bandar Raya mengaktifkan pelan pemindahan di daerah itu.

Setakat ini, bencana alam itu telah melanda bahagian utara, barat dan timur Bangkok.

Gabenor Bangkok Sukhumbhand Paribatra berkata keadaan banjir di daerah Wang Thonglang dan Lat Phrao kini dipantau dengan teliti apabila air semakin menghampiri bahagian tengah bandar raya ini.

Sukhumbhand meramalkan paras air di Sungai Chao Phraya akan mencecah 2.6 meter hari ini, 100sm lebih tinggi daripada paras tembok penghalang banjir yang berukuran 2.5 meter.

"Ada bukti limpahan air dari bahagian utara Bangkok semakin meningkat daripada segi kelajuan dan kuantiti," katanya.

Sehubungan itu, Sukhumbhand meminta penduduk di sepanjang sungai berkenaan agar lebih berhati-hati dan memperkukuhkan tembok penghalang banjir serta penghadang yang dibina di sepanjang sungai berkenaan.

Ketua pengarah FROC Pracha Promnok, yang juga Menteri Kehakiman, berkata kerajaan telah menyediakan pusat pemindahan di lapan wilayah untuk menempatkan penduduk Bangkok, sebagai tambahan kepada 100 pusat pemindahan yang dikhaskan di bandar raya ini.

Seribu bot dan 1,000 trak telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk memindahkan penduduk Bangkok, yang keseluruhannya berjumlah 12 juta.

Lapangan Terbang Don Muang di utara Bangkok ditutup sejak Selasa lepas akibat banjir, manakala lapangan terbang lain terus beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Thailand Pornsil Patchrintanakul berkata sekiranya banjir yang berlaku sekarang berlarutan hingga tiga bulan, kerosakan ekonomi yang dialami Bangkok boleh mencecah 250 bilion Baht (RM25 bilion).

Sebelum ini, kerajaan meramalkan bandar raya ini akan dilanda banjir antara 30 hingga 45 hari, berbanding kira-kira tiga bulan yang dialami sesetengah wilayah di utara Thailand.

Pronsil juga meramalkan Thailand akan mencatat pertumbuhan ekonomi tidak sampai satu peratus sekiranya Bangkok dilanda banjir selama tiga bulan.

Beliau menganggarkan nilai eksport Thailand bagi suku tahun lepas menurun kepada 10 bilion Baht (kira-kira RM1 bilion) sebulan, berbanding antara 18 bilion Baht dan 20 bilion Baht selama ini.

Kira-kira satu pertiga daripada negara ini masih dilanda banjir, yang menjejaskan kehidupan 2.4 juta penduduk di lebih 10,000 kampung di 26 wilayah di bahagian utara dan tengah Thailand.

Bencana alam yang berlaku secara berperingkat sejak 25 Julai ini telah meragut 373 nyawa.

Lebih 14,000 kilang dengan lebih 660,000 pekerja turut menerima kesan buruk akibat bencana alam ini. - BERNAMA

Artikel Lain