suria

Indonesia Akan Wujud 9.6 Juta Peluang Kerja Baru Menjelang 2014

JAKARTA: Pelan Induk Indonesia bagi Pencepatan dan Pengembangan Pertumbuhan Ekonomi Indonesia akan mewujudkan 9.6 juta pekerjaan baharu dari 2012 hingga 2014, kata Pengarah Tenaga Kerja dan Pembangunan Pekerjaan Lembaga Perancangan Pembangunan Nasional (Bappenas) Rahma Iryanti.

Beliau berkata selain peluang pekerjaan, terdapat juga pelaburan bernilai 3,775.9 trilion rupiah (US$427 trilion).

"Pekerjaan ini dijangka dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran kepada lima peratus menjelang 2014," Rahma dipetik sebagai berkata dalam akhbar harian berbahasa inggeris, The Jakarta Post, Khamis.

Di bawah pelan induk itu, kerajaan menjangka menjana pelaburan bernilai berbilion dolar bagi meningkatkan keluaran dalam negara kasar Indonesia kepada kira-kira US$4.5 trilion menjelang 2025, yang akan menjadikan negara itu antara 10 ekonomi terbesar dunia.

Data daripada Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia menunjukkan bilangan pengangguran mencecah 8.1 juta pada Februari.

Rahma berkata 9.6 juta pekerjaan disediakan bagi enam koridor ekonomi Sumatra, Jawa, Kalimantan, Sulawesi, Nusa Tenggara-Bali dan Maluku-Papua yang akan dipecahkan menjadi 4.7 juta dan 4.9 juta pekerjaan.

Jumlah 4.7 juta pekerjaan itu adalah untuk menyokong pelaburan Rp2,225 trilion dalam 22 projek utama, manakala 4.9 juta pekerjaan lain untuk menyokong pelaburan Rp1,550.9 trilion dalam sekurang-kurangnya lima projek kecil, katanya.

Antara projek utama ini termasuklah kilang keluli, minyak sawit, getah, arang batu, makanan dan minuman, tekstil, nikel dan tembaga, manakala projek-projek kecil menumpu kepada jalan raya, pelabuhan laut dan janakuasa solar, lapangan terbang dan landasan kereta api. Bagi projek utama, 579,973 pekerjaan akan diwujudkan di Sumatra, 340,938 di Jawa, 1.7 juta di Kalimantan, 460,940 di Sulawesi, 144,851 di Nusa Tenggara-Bali dan 1.46 juta di Maluku-Papua.

Manakala projek kecil pula akan mewujudkan 942,300 pekerjaan di Sumatra, 2.5 juta di Jawa, 450,800 di Kalimantan, 220,000 di Sulawesi, 155,600 di Nusa Tenggara-Bali dan 654,500 di Maluku-Papua. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain