suria

Indonesia Bina Lapangan Terbang Baru

JAKARTA: Indonesia merancang membina sebuah lapangan terbang baharu di sekitar Cikarang-Karawang, Jawa Barat, pada 2013, berikutan bertambahnya bilangan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Cengkareng, Banten, dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan Bambang S. Evan berkata pembangunan lapangan terbang baharu itu perlu memandangkan terminal Soekarno-Hatta tidak dapat menyokong pembinaan landasan ketiga ekoran ketidaan ruang.

"Kami sedang menjalankan kajian daya maju bagi memutuskan kemungkinan membina pelbagai apangan terbang, yang dijangkakan siap menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.

"Lapangan terbang baharu itu akan membantu Soekarno-Hatta menangani jumlah penumpang, yang meningkat antara 15 dan 18 peratus setiap tahun," katanya dipetik sebagai berkata oleh harian berbahasa Inggeris, The Jakarta Post, Isnin.

Tiga terminal Soekarno-Hatta kini mengendalikan lebih 30 juta penumpang, walaupun ia mempunyai gabungan kemudahan untuk 22 juta penumpang.

Menurut data agensi perangkaan pusat, lapangan terbang itu mengurus 11.44 juta penumpang penerbangan domestik dan 3.62 juta penumpang penerbangan antarabangsa sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

Soekarno-Hatta mempunyai dua landasan, masing-masing sepanjang 3,600 meter dan 3,660 meter yang mampu menampung 52 pesawat sejam.

Bambang berkata cadangan pembinaan lapangan terbang baharu itu akan disepadukan dengan perancangan pelabuhan antarabangsa Cilamaya, di Karawang.

"Ada juga rancangan untuk membina sistem kereta api untuk menampung akses ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta," katanya.

Selain lapangan terbang di Karawang, kerajaan juga merancang membina lapangan terbang antarabangsa Kartajati di Majalengka, Jawa Barat, untuk penerbangan domestik dan antarabangsa, selain penerbangan kargo, menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Hussein Sastranegara di Bandung.

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono baru-baruini berkata kerajaan akan membina 14 lapangan terbang baharu di pelbagai lokasi di seluruh negara selain mencergaskan 116 lapangan terbang, mulai tahun depan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain