suria

Penduduk Bangkok Diminta Sedia Hadapi Sebulan Banjir

BANGKOK: Penduduk Bangkok diminta bersiap sedia untuk menghadapi banjir selama sebulan apabila air banjir dari bahagian utara dan tengah negara ini mengalir ke Teluk Siam melalui bandar raya ini.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra hari ini berkata mereka terpaksa menghadapi keadaan yang tidak dapat dielakkan itu walaupun kerajaan cuba mengalih aliran air banjir ke bahagian utara Bangkok.

Sejak malam Jumaat, kerajaan telah membuka pintu air sluis di bandar raya ini dari semasa ke semasa untuk melepaskan 1.2 bilion meter padu air banjir ke laut dalam usaha mengatasi banjir buruk yang melanda negara ini.

Sebahagian daripada daerah utara Bangkok yang melibatkan Don Muang, Laksi, Bang Khen dan Bang Sue dilanda banjir kecil malam tadi, manakala sebahagian daripada wilayah timur bandar raya ini pula dinaiki air sejak minggu lepas.

Pada keseluruhannya, paras banjir di wilayah utara dan tengah negara ini tidak berubah, sesetengahnya sejak dua bulan lepas dan membuat kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengalirkan airnya ke laut.

Ini juga kerana wilayah utara dan tengah Thailand sudah tidak lagi mampu menerima air banjir yang dialihkan dari Bangkok untuk mengelak bandar raya itu daripada dilanda banjir.

Kini, satu pertiga negara ini masih ditenggelami air, manakala 2.4 juta penduduk di lebih 10,000 kampung melibatkan 28 wilayah di wilayah utara dan tengah terjejas oleh banjir yang melanda Thailand secara berperingkat sejak 25 Julai. Setakat ini, bencana alam itu meragut 356 nyawa.

Lebih 14,000 kilang dengan lebih 660,000 pekerja juga terjejas oleh banjir buruk ini.

Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara berkata sektor ekonomi mengalami kerugian bernilai lebih 100 bilion Baht (kira-kira RM10 bilion) dan sektor pertanian lebih 40 bilion Baht (kira-kira RM4 bilion) akibat krisis ini.

Banjir kali ini berkemungkin menjejaskan pertumbuhan ekonomi Thailand sehingga 1.7 peratus pada tahun ini berbanding ramalan sebelum krisis ini melanda iaitu antara 3.5 peratus dan 4.5 peratus, kata Kementerian Kewangan.

Artikel Sebelum

Polis Maut Serangan Di Papua

Artikel Berikut

Gempa Bumi Gegar Kepulauan Tonga

Artikel Lain