suria

Ratusan Rakyat Malaysia Berhimpun Di Pameran Perdagangan Mega Nanning

NANNING (China): Ratusan rakyat Malaysia, dari sektor awam dan swasta, berhimpun di sini bersama-sama rakan Asean yang lain bagi menyertai pameran perdagangan terbesar China.

Ramai daripada mereka tiba di sini menggunakan penerbangan catar semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur manakala sesetengahnya tiba dari beberapa tempat mereka berkhidmat di China.

Malaysia adalah Negara Kehormat bagi edisi kelapan Pameran China-Asean (CAEXPO) 2011 itu dan akan menjadi hos majlis pembukaan pada 21 Oktober.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dijangka terbang ke sini bagi menghadiri majlis itu.

Sebanyak 16 agensi kerajaan turut menyertai ekspo enam hari itu.

Antaranya ialah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Sebanyak 132 syarikat, yang termasuk Sime Darby Bhd, Berjaya Corporation Bhd, KPJ Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan Nagamas International Bhd menyertai ekspo itu.

Sebanyak 51 daripada syarikat yang mengambil bahagian terlibat dalam pengeluaran makanan dan minuman, 36 (kesihatan dan kecergasan), sembilan (gaya hidup), 12 (perkhidmatan profesional dan produk am), dua (francais), dua (penjagaan kesihatan), 11 (perkhidmatan alam sekitar dan produk hijau) dan lima di dalam sektor pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Dr Wong Lai Sum berkata banyak lagi syarikat yang berminat mengambil bahagian tetapi ruang terhad, sehingga menyukarkan kerja-kerja pemilihan syarikat.

"Kami memilih syarikat berasaskan apa yang dimahukan pasaran, yang bermaksud peluang eksport," katanya di dalam satu temubual sebelum berlepas.

Di kalangan syarikat yang mengambil bahagian, katanya 35 peratus adalah peserta ulangan.

Selain barangan dan perkhidmatan di Pavilion Malaysia, Malaysia akan turut mempromosikan pelancongan di Pavilian Bandaraya yang Menawan. Kali ini, Malaysia akan memperagakan Johor Baharu selepas Melaka pada tahun lepas dan Kuching pada 2009. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain