Muka-Muka Baru Dalam Kabinet Indonesia - Dunia | mStar

Muka-Muka Baru Dalam Kabinet Indonesia

JAKARTA: Setelah seminggu membuat penilaian, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono malam Selasa mengumumkan rombakan Kabinet Indonesia dengan menamakan beberapa muka baru sebagai calon menteri. Jumlah kementerian kekal 34 sebagaimana diperuntukkan undang-undang namun beliau membuat sedikit perubahan kepada portfolio kementerian.

Beliau memperkenalkan bidang baru iaitu ekonomi kreatif yang disatukan dengan kementerian pelancongan manakala portfolio kebudayaan dipindahkan dari kementerian pelancongan ke kementerian pendidikan nasional.

Muka-muka baru itu termasuk Amir Syamsudin (Undang-undang dan Hak Asasi Manusia), Azwar Abubakar (Pendayagunaan Aparatur Negara dan Reformasi Birokrasi), Gita Wirjawan (Perdagangan), Dahlan Iskan (Badan Usaha Milik Negara), Sharif Cicip Sutardjo (Kelautan dan Perikanan), dan Djan Faridz (Perumahan Rakyat).

Anggota kabinet yang akan berubah kementerian ialah Mari Elka Pangestu dari jawatan Menteri Perdagangan ke jawatan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif manakala Jero Wacik pula berubah jawatan dari Menteri Pelancongan dan Kebudayaan ke jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral.

Yudhoyono turut menamakan Leftenan Jeneral Marciano Norman sebagai Ketua Badan Intelijen Negara yang baru.

Kesemua calon menteri baru itu akan dilantik ke jawatan masing-masing pada Rabu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Letupan Di Turki: Enam Terbunuh

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

Gempa Bumi Sederhana Landa Indonesia

Artikel Lain