suria

Lawatan Agong Kukuhkan Lagi Hubungan Malaysia-Indonesia

JAKARTA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Indonesia Isnin dalam rangka kunjungan, yang disifatkan sebagai pengukuhan jambatan hubungan dua negara berjiran.

Pengurniaan anugerah tertinggi Bintang Republik Indonesia Adipurna kepada Tuanku Mizan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Istana Merdeka semalam menjadi lambang kepada keakraban hubungan dua hala yang sangat istimewa antara kedua-dua negara.

Bintang itu dianugerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai penghargaan dan penghormatan oleh rakyat dan Kerajaan Indonesia atas perhatian, usaha dan jasa Seri Paduka dalam meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.

Tuanku Mizan merupakan Ketua Negara Malaysia yang pertama menerima anugerah itu.

Sebelum ini, anugerah sama pernah disampaikan kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selaku Menteri Pengiring dalam lawatan ini, berkata Indonesia merupakan negara sahabat paling rapat dengan Malaysia.

"Saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Kerajaan Indonesia yang telah membentuk jambatan yang erat antara Indonesia dan Malaysia apatah lagi dengan anugerah tertinggi daripada kerajaan Indonesia kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Semangat yang diperlihatkan oleh Presiden Susilo dalam ucapan jamuan malam rasmi jelas memperlihatkan mesej yang sangat penting bahawa jambatan harus terus diperkukuhkan, hubungan antara kerajaan dengan kerajaan diperkuatkan, hubungan perniagaan antara dua negara diperkuatkan, hubungan pertahanan juga diperkuatkan," katanya.

Ketiga-tiga bidang itu merupakan tonggak utama dalam hubungan Malaysia dan Indonesia, yang perlu terus diperkukuhkan.

"Saya ingin memainkan peranan ketiga untuk memperkuatkan hubungan pertahanan bukan sebagai satu kesepakatan ketenteraan, tapi untuk menjaga kepentingan kedua-dua negara tanpa menjejaskan negara jiran," katanya.

Ahmad Zahid percaya ada pihak yang tidak berasa senang dengan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.

"Kita jangan fikirkan siapa pihak itu, mari kita maju ke hadapan bersama-sama untuk memperkasakan hubungan yang baik. Yang penting kita harus membangunkan nusantara ini dan rantau Asean sebagai satu rantau yang dapat bekerjasama.

"Itu sebabnya saya juga menyarankan agar ada kerjasama dalam industri pertahanan antara negara-negara Asean dan kita mengambil langkah pertama dengan mengadakan kerjasama dengan Indonesia," katanya.

Dr Ahmad Zahid berkata dalam usaha memperkukuh dan menjaga hubungan ini, yang lebih penting lagi ialah jangan ada mana-mana pihak termasuk media membangkitkan perkara-perkara yang tidak menguntungkan mana-mana negara. - BERNAMA

Artikel Lain