suria

Banjir Beri Kesan 1.0 Peratus Hingga 1.7 Peratus Terhadap KDNK Thailand

BANGKOK: Kejadian banjir Thailand yang teruk sekarang ini telah memberi kesan buruk pertumbuhan ekonomi antara 1.0 peratus dan 1.7 peratus, kata Menteri Kewangannya, Thirachai Phuvanatnaranubala pada Isnin.

Bagaimana pun, katanya kerajaan percaya dasar bantuan banjirnya dapat menyumbang kepada pemulihan segera ekonominya. Pada peringkat awal, kerajaan mengunjurkan keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) antara 3.5 peratus dan 4.5 peratus bagi tahun ini.

Jawatankuasa Pemulihan Ekonomi Selepas Banjir hari ini menimbangkan empat langkah segera, yang termasuk usaha melindungi estet perindustrian yang tidak terkena kesan banjir dan mengurangkan kerugian syarikat, kata Thirachai selepas menghadiri mesyuarat itu.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Kittirat Na Ranong, yang juga Menteri Perniagaan, yang turut dihadiri oleh Menteri Perindustrian Wannarat Charnnukul dan Gabenor Bank of Thailand Prasarn Triratvorakul.

Thirachai berkata langkah lain ialah untuk menyediakan bantuan am dan kewangan kepada mangsa banjir, petani, pengusaha dan buruh.

Lebih 900 kilang di lima estet perindustrian di Ayutthaya dan satu di Phatum Thani telah digenangi air.

Prasarn pula berkata industri yang terletak di kawasan terlibat banjir mempunyai hutang disatukan berjumlah 60 bilion Baht (kira-kira RM6 bilion) atau 0.75 peratus daripada pinjaman yang tertunggak keseluruhannya, di mana 56 peratus adalah milik bank-bank Thai dan bakinya milik bank asing.

Dalam hubungan ini, Kementerian Kewangan akan berbincang dengan bank-bank komersil dan bank milik negara seperti Export-Import Bank dan Small and Medium Enterprise Development Bank bagi melonggarkan syarat membayar balik hutang serta bagi memudahkan pengeluaran pinjaman.

Kira-kira satu pertiga daripada negara itu digenangi air, dengan melibatkan 2.3 juta rakyatnya dari lebih 10,000 kampung di 24 wilayah utara dan tengah di dalam banjir, yang melanda negara itu secara berperingkat-peringkat mulai 25 Julai lepas. - BERNAMA

Artikel Lain