suria

Kilang Alat Ganti M'sia Selamatkan Peralatan Daripada Banjir

BANGKOK: Tindakan awal sebuah kilang alat ganti kereta Malaysia telah menyelamatkan produknya yang sudah siap, terdiri sebahagian peralatan dan bahan daripada ditenggelami air banjir buruk yang melanda kawasan industri Hitech di Ayutthaya, Khamis lepas.

Pengarah Urusan Ingress Autoventures Co Ltd, Hamidi Maulod memberitahu pada Isnin ini syarikat itu sempat memindahkan semua produk sudah siapnya, peralatan kenderaan dan sebahagian bahan ke tempat yang selamat.

"Semua produk berkenaan, peralatan kenderaan dan bahan dihantar ke sebuah lagi kilang kami di Rayong dua hari sebelum air banjir melanda," katanya kepada Bernama. Syarikat berkenaan mengeluar rangka pintu, bingkai, cermin hadang cuaca, alat saluran dan paip EGR untuk Honda dengan jualan mencecah 600 juta Baht (kira-kira RM60 juta) setahun dari kilangnya seluas 1.6 hektar dengan kira-kira 240 orang tenaga kerja.

Seluruh kawasan industri HiTech berkenaan ditengelami air sedalam 2.5 meter pada hari Khamis. "Kami mengambil langkah awal selepas Taman Industri Rojana yang berdekatan dilanda banjir," kata Hamidi. Beliau tidak dapat memberi anggaran kerugian dialami syarikat itu, sebuah usaha sama di antara Kumpulan Ingress Malaysia dengan Katayama Kogyo Co Ltd, Jepun, kerana kawasan tersebut masih digenangi air. Hamidi juga tidak dapat menjangkakan bilakah operasi syarikatnya dapat disambung semula kerana terpaksa menunggu sehingga air banjir surut. "Kami terpaksa menunggu arahan selanjutnya daripada Honda yang juga terletak di kawasan berdekatan," katanya.

Honda sendiri telah mengumumkan penangguhan pengeluaran kilangnya di bahagian tengah Ayutthaya, Rabu lepas. "Saya tidak dapat mengagak bila kami boleh menyambung semula operasi tetapi menurut Persatuan Automotif Thai ia akan mengambil masa tiga bulan untuk industri tersebut kembali pulih sediakala, kata Hamidi. Lima kawasan industri di Ayutthaya – Saha Rattanakorn, Rojana, Hi-Tech, Bang Pa-in dan Factory Land – tidak dapat diselamatkan daripada dilanda banjir dengan Bank of Thailand menganggarkan kerugian mencecah 100 bilon Baht (kira-kira RM10 bilion). Menurut Kementerian Perdagangan Thai, lebih 900 kilang dengan 200,000 orang pekerja terjejas akibat banjir yang berlaku sekarang. Kira-kira 10 syarikat pengeluar Malaysia dalam sektor automotif, elektrik dan elektronik adalah di antara yang terlibat, demikian menurut anggaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kira-kira sepertiga daripada Thailand masih lagi ditenggelami banjir sementara 2.3 juta penduduk di lebih 10,000 buah kampung dalam 24 wilayah di bahagian utara dan tengah, dilanda banjir berperingkat-peringkat mulai 25 Julai lalu.

Banjir tersebut yang dianggap terburuk sejak berpuluh-puluh tahun lalu setakat ini telah mengorbankan 300 nyawa. - BERNAMA

Artikel Lain