suria

Malaysia Ingin Bina Jaringan Dengan Dunia Arab Di Pesta Buku Frankfurt

FRANKFURT: Penerbit dari beberapa negara Timur Tengah semalam diundang ke Astaka Malaysia pada Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt dalam apa yang disifatkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) sebagai usaha untuk "membina jambatan".

Dalam usaha meningkatkan hubungan perniagaan antara penerbit Malaysia dan Arab, MBKM menarik tumpuan jemputan mereka itu dengan menonjolkan nilai budaya dan keagamaan yang dikongsi bersama Malaysia dan negara Arab.

Astaka Malaysia mengetengahkan 50 judul terbaik untuk tatapan serta penilaian para penerbit buku dari Timur Tengah dan majlis "membina jambatan" itu berakhir dengan para penerbit buku dari Malaysia dan dunia Arab cuba mengenal pasti bidang kerjasama yang boleh mereka pertingkatkan, di samping memupuk hubungan perniagaan sesama mereka.

Seorang penerbit buku Malaysia berkata, beliau sedang mencari penerbit dari Timur Tengah untuk menghasilkan buku bagi tujuan pembelajaran bahasa Arab di sekolah, manakala syarikat PTS Publications pula mencari buku bahasa Arab yang sesuai untuk diterjemahkan ke bahasa Malaysia.

Ali Tamim, pengurus projek Kalima, yang mendapat sokongan kerajaan Abu Dhabi, memberitahu BERNAMA bahawa kerajaan negara itu bercadang menerbitkan kira-kira 600 judul buku daripada pelbagai bahasa ke bahasa Arab.

Abu Dhabi menetapkan sasaran untuk menterjemah 100 judul buku daripada bahasa Arab ke pelbagai bahasa lain setiap tahun, katanya.

Beliau berkata, pertubuhannya yang menjalin kerjasama dengan para penterjemah dari seluruh dunia, bersedia berganding bahu dengan penterjemah Malaysia sekiranya menemui rakan yang sesuai.

Fatma Elboudy, pengurus besar El Ain Publishing House dari Kaherah, Mesir pula memberitahu Bernama bahawa beliau amat berminat untuk bekerjasama dengan syarikat penerbitan dari Malaysia dalam bidang penerbitan novel.

Katanya, walaupun beliau belum pernah berkunjung ke Malaysia, namun beliau amat berminat untuk meneroka kemungkinan menjalin hubungan perniagaan dengan penerbit buku dari Malaysia.

"Saya sungguh berminat untuk melihat novel Arab diterjemahkan ke bahasa yang ada di Malaysia dan mengumpul maklumat tentang kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia. Ringkasnya, saya berminat untuk mencetak dan menterjemah novel Arab.

Saya sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbitan dari Malaysia dan bertukar-tukar kad nama dengan beberapa yang lain agar dapat terus berhubung dengan mereka setelah pulang nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain