suria

Hubungan Australia dan Keluarga Diraja Britain Tak Dapat Dipisahkan

LONDON: Apabila Ratu Elizabeth II tiba di Australia minggu hadapan, mengikut protokol baginda akan dipanggil dengan gelaran Ratu Australia – sekaligus akan menyaksikan berlakunya konflik antara golongan yang inginkan Australia menjadi sebuah republik dengan mereka yang ingin terus berada di bawah naungan Britain.

Ini adalah lawatan rasmi baginda Ratu yang ke-16 ke Australia.

Lawatan rasmi diraja itu mungkin yang terakhir buat ratu yang sudah pun berusia 85 tahun tetapi akan turut dinanti apakah ia bakal mencetuskan perdebatan antara golongan republikan dan mereka yang masih 'setia' di bawah naungan Britain.

Australia pada asasnya adalah sebuah negara raja berperlembagaan yang mana Ratu atau Raja adalah ketua negara.

Walaupun kedudukan Raja atau Ratu hanyalah sekadar lambang istiadat namun mereka memiliki kuasa untuk mengesahkan pemansuhan parlimen sebagaimana yang pernah berlaku pada tahun 1975 sekaligus menjatuhkan kerajaan yang sedang memerintah.

Walaupun terdapatnya gerakan untuk menjadikan Australia sebuah republik dan presiden sebagai pemimpin negara tetapi berdasarkan tinjauan yang dijalankan baru-baru ini mendapati, sokongan ke atas sistem raja berperlembagaan telah meningkat kepada 55% manakala sokongan ke atas sebuah negara republik hanyalah sekadar 34% - iaitu yang terendah dalam tempoh 25 tahun.

Selepas beberapa tahun berlalu tanpa menunjukkan sebarang peningkatan populariti, Pengerusi Gerakan Republikan Australia, Mike Keating mengakui semakin tidak yakin usaha mereka itu akan membuahkan hasil.

Sebaliknya, Gerakan Australia Untuk Raja Berperlembagaan yang diketuai oleh Profesor David Flint berkata rasa kagum, hormat, sayang dan kasih kepada Ratu dan keluarga diraja masih tinggi dan menebal di kalangan rakyat Australia dan ini katanya dapat disaksikan apabila berlangsungnya perkahwinan diraja (Putera William - cucu Ratu) dan kali ini akan dapat disaksikan dalam lawatan Ratu ke Australia.

Ramai rakyat Australia pada mulanya menyangkakan selepas Parti Buruh pimpinan Kevin Rudd mengambil alih pemerintahan negara itu pada tahun 2007, usaha untuk menjadikan Australia sebuah republikan akan muncul kembali kerana kecenderungan parti itu ke arah sebuah negara tanpa perlindungan diraja.

Tetapi selepas parti itu menjadi lemah dan Rudd disingkirkan oleh perdana menteri sekarang Julia Gillard, sebarang usaha ke arah sebuah negara republikan kembali kendur kerana Parti Buruh kini hanya memiliki majoriti mudah di parlimen.

Gillard, sepertimana kebanyakkan pemimpin pro republikan kini berkata, Australia tidak akan menjadi sebuah republik selagi Ratu Elizabeth masih hidup.

Jika sentimen sekarang berterusan, Gillard dan parti pimpinannya mungkin akan kehilangan kuasa pada tahun 2013 apabila pilihan raya umum dijadualkan berlangsung. Ketua pembangkan konservatif Tony Abbott, adalah seorang penyokong setia pemerintahan raja berperlembagaan.

Dari sudut sejarah, rakyat Australia telah berperang di samping negara asal mereka Britain boleh dikatakan dalam setiap perang utama dunia. Namun begitu, keluarga diraja tidak juga terlepas daripada ancaman perasaan benci rakyat kebanyakan ke atas mereka. Dalam lawatan keluarga diraja pada tahun 1868, putera Ratu Victoria, Putera Alfred, telah ditembak dalam satu usaha untuk membunuhnya ketika beliau sedang berkelah di Pantai Bondi.

Ketika lawatan Ratu Elizabeth pada tahun 1963, Perdana Menteri Sir Robert Menzies dipetik sebagai berkata: “Saya yang melihat Ratu berjalan di hadapan saya dan lantas saya jatuh cinta kepadanya hingga ke akhir hayat saya.”

Pada kebanyakkan rakyat Australia, Ratu Elizabeth adalah satu-satunya Raja atau Ratu yang mereka kenali khususnya kepada generasi tua tetapi kini generasi muda pula mencintai dan meminati Putera William, isterinya Kate dan adiknya Putera Harry. Malah ramai yang berasa tidak mengapa jika Australia terus menerus mendokong sistem beraja yang wujud sekarang bukan kerana mereka cintakan sistem itu tetapi kerana mereka melihatnya sebagai sesuatu yang tiada kaitan dengan politik sekaligus memberi kestabilan kepada pemerintahan negara.

Artikel Lain