suria

Thailand Minta Bantuan Amerika Tangani Bencana Banjir

BANGKOK: Thailand telah meminta bantuan Amerika Syarikat dalam menangani bencana banjir di negara tersebut.

Menteri Luar, Dr Surapong Tovichakchaikul berkata, Bangkok telah meminta Washington untuk menghantar Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA).

"Pengalaman FEMA dalam menangani bencana beserta kepakarannya dalam teknologi boleh membantu respons kami kepada situasi banjir sekarang," katanya.

Menteri Kehakiman, Jen Pracha Promnok yang juga Pengarah Operasi Bantuan Banjir berkata kerajaan Belanda turut menghantar para pakarnya.

Mengenai keadaan banjir di Bangkok, Pracha berkata aliran banjir dari wilayah utara dan tengah dijangka sampai di ibu negara ini esok namun pihak berkuasa yakin bandar raya ini akan selamat ekoran keadaan banjir adalah terkawal. Katanya, paras air dari sungai Chao Phraya adalah antara 2.3 dan 2.4 meter, lebih rendah daripada tembok banjir setinggi 2.5 meter.

"Oleh itu Bangkok adalah selamat," katanya.

Pracha berkata, situasi banjir di Bangkok kini stabil walaupun ia menghadapi air banjir, hujan dan air laut pasang antara Jumaat hingga Ahad.

Tiada kawasan baru yang dilanda banjir selain sebahagian timur Bangkok di daerah Ladkrabang, Sai Mai, Jarakhea Yai, Nongjok, Minburi dan Pravate.

Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi yang terletak di timur Bangkok masih selamat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anak Gaddafi Ditangkap Di Sirte

Artikel Lain