suria

Tentera Rejim Peralihan Lancar Serangan Terakhir Di Bandar Sirte

SIRTE: Tentera Libya yang menyokong rejim baru melancarkan 'serangan terakhir' untuk menawan Sirte, bandar kelahiran bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

Tentera rejim peralihan berjaya menawan ibu pejabat polis di bandar ini pada Khamis, ketika usaha menggempur pengikut setia bekas pemimpin Libya itu diteruskan.

Sementara itu, tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) dalam pada itu menerima serangan hebat di bandar Bani Walid, satu lagi kubu kuat Gaddafi yang masih tinggal.

Di Sirte, penawanan ibu pejabat polis yang strategik itu diraikan dan bangunan itu diselongkar serta poster-poster Gaddafi dimusnahkan.

Doktor di hospital selatan Sirte berkata, lima orang terbunuh dan 42 lagi cedera dalam operasi ketenteraan di bandar itu semalam, manakala di bahagian timur pula 11 orang dilaporkan terbunuh dan 52 lagi cedera.

Tentera NTC telah menggempur bandar ini sejak 15 September lalu sebelum melancarkan operasi yang digelar 'serangan terakhir' Jumaat lalu dengan menyaksikan seramai 80 anggota mereka terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera.

Komander NTC di barisan hadapan timur Sirte, Wissam bin Ahmid berkata, mereka semakin hampir menawan keseluruhan bandar ini tetapi masih bimbangkan dengan keselamatan orang awam.

Di bandar Bani Walid pula, tentera NTC dilaporkan mengambil 'taktik berundur' selepas menerima tentangan hebat Ahad lalu.

"Kami kehilangan 17 anggota dalam pertempuran Ahad lalu dan telah meninggalkan lapangan terbang yang telah ditawan sebelum ini," kata ketua komander tentera NTC, Salem Gheith.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anak Gaddafi Ditangkap Di Sirte

Artikel Lain