suria

Letupan Dua Kereta Di Balai Polis Baghdad Korban 11 Orang

BAGHDAD: Pegawai-pegawai keselamatan berkata, tindakan dua penyerang bunuh diri yang meletupkan dua buah kenderaan sarat dengan muatan senjata secara berasingan dengan perbezaan seminit di beberapa balai polis, di sini, Rabu telah mengorbankan 11 orang awam.

Menurut kenyataan rasmi kementerian dalam negeri dan pertahanan, sekurang-kurangnya 42 orang tercedera dalam letupan berkembar pada sekitar pukul 8.30 pagi di Hurriyah, utara Baghdad dan pusat ibu kota Al-Wiyah.

Pegawai kementerian dalam negeri berkata 11 terbunuh dan 48 orang tercedera, sementara kenyataan rasmi yang dikeluarkan kementerian pertahanan pula memberitahu 15 kematian dan 42 orang cedera daripada kejadian itu.

Kedua-dua pegawai kementerian itu enggan dikenali.

Serangan letupan itu adalah insiden terburuk yang berlaku di ibu kota itu sejak kejadian 28 Ogos lalu apabila serangan bunuh diri yang dikaitkan dengan puak Sunni di sebuah masjid mengorbankan 28 orang awam.

Pegawai kementerian dalam negeri berkata tiga lagi insiden yang berlaku di sekitar ibu kota itu, Rabu iaitu letupan kereta, serangan pistol kalis bunyi di pusat pemeriksaan, letupan bom magnetik yang dilekatkan pada kereta, mencederakan tujuh orang termasuk seorang jeneral brigadier polis dan dua pegawai polis.

Kadar serangan di sini masih terus berlaku walaupun kadar keganasan di negara itu dilaporkan menurun sejak 2006 dan 2007.

Menurut angka rasmi yang dikeluarkan, seramai 185 penduduk tempatan terbunuh dalam siri keganasan yang berlaku pada September lalu. - AFP

Artikel Lain