suria

Mexico Bersiap Sedia Untuk Taufan Jova

MEXICO CITY: Pihak berkuasa Mexico telah meletakkan empat kawasan berhampiran perairan pantai di bahagian selatan negara itu dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi taufan besar dari arah lautan Pasifik iaitu Taufan Jova pada Selasa.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat (AS) yang berpengkalan di Miami berkata dalam sebuah buletin pada pukul 3 pagi, Jova dijangka bertiup kencang dengan kelajuan angin 195km (120 batu) sejam dan 255km (158 batu) di arah barat daya bandar raya pelabuhan tersibuk Manzanillo di negeri Colima.

Ia dijangka menuju ke arah utara-timur laut pada kelajuan 11km (7m) sejam.

Kekuatan Taufan Jova berada pada tahap ketiga dalam sukatan skala ribut Saffir-Simpson dan diramal akan terus meningkat kepada peringkat keempat sebelum ia menghempas daratan, Selasa.

“Dalam trek ramalan kami, bahagian tengah taufan itu akan menghampiri kawasan perairan pantai Mexico pada tengah hari atau petang Selasa.

“Perubahan pada kekuatan taufan itu dijangka berlaku pada siang hari tetapi Jova tetap akan menghempas perairan pantai Mexico sebagai ribut taufan yang dahsyat,” kata kenyataan yang dikeluarkan NHC.

Pihak berkuasa Mexico sudah mengeluarkan amaran taufan yang dahsyat pada perairan pantai Pasifik.

Beberapa ribut taufan telah menghempas perairan pantai Mexico dalam tempoh beberapa bulan ini tetapi kebanyakannya hanya menyerang di kawasan lautan sahaja.

Pukulan ribut pertama yang dinamakan Arlene telah mengorbankan 16 orang dan membanjiri seluruh negara itu, Julai lalu.

Ribut dan taufan tropika yang melanda pada tahun lalu telah mengakibatkan banjir lumpur di Mexico sehingga mengorbankan 25 orang, ratusan orang kehilangan tempat tinggal dan kerugian harta benda yang bernilai $4 bilion. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain