suria

Seorang Pekerja Lombong Terbunuh Dalam Piket Kenaikan Gaji

TIMIKA: Tembakan terbuka oleh penguatkuasa keselamatan Indonesia bagi meleraikan tindakan mogok pekerja-pekerja lombong emas dan tembaga Freeport-McMoran pada awal Isnin telah mengorbankan seorang pekerja dan mencederakan seorang yang lain, kata kenyataan rasmi kesatuan pekerja di sini.

Polis berkata masih terlalu awal untuk memberikan sebarang komen dan para pegawai syarikat perlombongan yang berpengkalan di Arizona, Amerika Syarikat itu sedang menyediakan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

Pekerja-pekerja lombong Grasberg di bahagian selatan wilayah Papua ini mula melancarkan mogok pada 15 September lalu bagi menuntut kenaikan gaji kepada $17.50 hingga $43 sejam daripada gaji semasa $2.10 to $3.50 sejam.

Kira-kira 90 peratus daripada 12,000 pekerja lombong terlibat dalam piket berkenaan.

Ketua kesatuan pekerja Manuel Maniambo berkata ribuan pekerja yang melancarkan mogok menuju ke arah kawasan lombong di kawasan pergunungan dengan bas dan berjalan kaki untuk menghalang pekerja-pekerja ganti daripada bekerja.

Katanya, pekerja-pekerja tersebut mula menjadi berang dengan melemparkan batu dan memaki-hamun penguatkuasa keselamatan yang cuba menghentikan tindakan mereka.

Maniambo berkata, keadaan itu memaksa penguatkuasa keselamatan melepaskan tembakan terbuka sehingga mengorbankan seorang pekerja dan menyebabkan seorang lagi pekerja yang cedera berada dalam kritikal di hospital.

Tindakan mogok berkenaan adalah yang kedua dilaporkan berlaku di lombong itu pada tahun ini.

Lombong tersebut mengalami kerugian dalam pengeluaran sebanyak 4 juta paun tembaga dan 7.5 auns emas sehari ketika para pekerja melancarkan mogok selama lapan hari pada Julai lalu ekoran isu yang sama iaitu tuntutan kenaikan gaji yang tidak diendahkan oleh syarikat.

Penganalisa-penganalisa berkata, kerugian yang dialami syarikat itu sebanyak $30 juta sehari pada piket pertama dijangka berulang kali ini. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Lain