suria

Penyakit Leptospirosis Bimbangkan Kerala

CHENNAI: Sekurang-kurangnya 600 orang disyaki menghidap penyakit kencing tikus atau leptospirosis dilaporkan di Kerala yang mengorbankan hampir 100 nyawa tahun ini, iaitu ancaman penyakit selepas musim monsun melanda negeri itu.

Pihak berkuasa kesihatan kini meningkatkan pengawasan, terutama di utara Kerala, untuk menangani wabak leptospirosis, biasanya tersebar daripada kencing tikus atau haiwan yang dijangkiti.

"Ia adalah penyakit zoonosis, biasanya disebarkan oleh haiwan seperti tikus dan manusia menjadi mangsa. Kes-kes yang disyaki leptospirosis telah meningkat kerana musim monsun yang lama antara dua hingga tiga bulan yang dialami di sini.

"Sehingga kini kami mengesahkan lima kematian disebabkan penyakit kencing tikus di Kozhikode," Dr P.K.Mohanan, pegawai perubatan daerah Kozhikode memberitahu Bernama.

Menurut Mohanan, pesakit yang mengalami pelbagai simptom seperti demam panas, pendarahan dalaman, kerosakan hati, sakit otot, sama seperti denggi atau kolera, sukar untuk mengasingkan penyakit itu.

Pegawai berkata kebanyakan pesakit, berusia antara 40 tahun ke atas, adalah pekerja perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan, yang mudah terdedah kepada bakteria itu.

Negeri pelancongan itu juga berhadapan dengan kes kolera dan tifoid wabak yang tersebar berikutan musim hujan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain