suria

Lelaki AS Mengaku Bersalah Hina Institusi Beraja Thailand

BANGKOK: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) mengaku bersalah atas tuduhan menghina institusi beraja Thailand di mahkamah, di sini, Isnin.

Kesalahan tersebut boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Lelaki kelahiran Thailand iaitu Joe Wichai Commart Gordon, ditahan pada Mei lalu ketika bercuti di negara itu.

Beliau didakwa telah memuat naik pautan terjemahan teks sebuah buku yang diharamkan di dalam blognya, di samping beberapa bahan lain yang dianggap menghina kerajaan itu ketika beliau berada di AS.

“Saya tidak mahu menentang kes ini. Saya mengaku bersalah di atas semua pertuduhan,” kata jurujual kereta berusia 55 tahun yang menetap di Colorado, AS selama lebih dua dekad itu kepada Mahkamah Jenayah di sini.

Peguamnya Arnon Nampa berkata beliau berharap Gordon akan menerima hukuman paling ringan iaitu pemenjaraan selama tiga tahun dan pengakuan bersalah tersebut juga membolehkan tempoh pemenjaraan anak guamnya itu dikurangkan.

Beliau juga mengharapkan ihsan keampunan daripada raja negara itu.

Gordon akan mula menjalani hukuman pada 9 November depan.

Pada Ogos lalu, kedutaan AS di sini dalam satu kenyataan berkata pihaknya kecewa dengan keputusan kerajaan itu meneruskan pendakwaan tersebut dan menggesa negara itu agar menghormati hak kebebasan bersuara.

Arnon berkata anak guamnya telah memuat naik terjemahan sebuah buku biografi King Bhumibol Adulyadej yang diharamkan di blognya kerana menyangka ia sebuah penulisan akademik dan tidak berniat untuk menghina sistem monarki negara itu.

Sistem beraja Thailand merupakan subjek yang paling sensitif untuk dikupas dalam negara yang berdepan konflik perpecahan politik itu.

King Adulyadej, 83, adalah raja yang paling lama memerintah di dunia dan dianggap sebagai separa dewa oleh sekalian rakyat jelata.

Baginda mula dimasukkan ke hospital sejak September 2009 kerana demam selesema dan radang paru-paru.

Di bawah peruntukan undang-undang Thailand, sesiapa yang didapati bersalah kerana menghina raja, permaisuri, waris atau pemangku raja boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap kesalahan. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain