suria

Menteri Pelajaran India Tipu Peperiksaan Sekolah Tinggi

CHENNAI: Seorang menteri pelajaran yang gagal menghabiskan pengajian di sekolah tinggi berazam untuk menyelesaikan peperiksaannya, tetapi memilih cara yang salah dengan meminta seorang proksi menduduki peperikaan bagi pihaknya.

Menteri dalam kerajaan Puducherry (dulunya Pondicherry) itu, dituduh meminta seorang penyamar menduduki peperiksaan Kelas 10 (setaraf tingkatan lima) bulan lepas.

Polis Tamil Nadu pada Sabtu memfailkan kes konspirasi dan menyamar terhadap ahli politik itu, dikatakan seorang pelajar cicir, ketika beliau menduduki peperiksaan di sebuah sekolah lain di daerah Villupuram, kira-kira 125 km dari Chennai.

"Siasatan mengesahkan terdapat bukti prima-facie bahawa menteri itu menggunakan seorang proksi dalam peperiksaan itu," kata Menteri Pendidikan Sekolah Negeri Tamil Nadu C. Ve. Shanmugam kepada akhbar Times of India.

Penipuan itu terbongkar bila penyelia peperiksaan mendapati gambar dan tulisan tangan menteri itu tidak serupa dengan gambar dan tulisan penyamar berkenaan.

Menurut laporan menteri berusia 34 tahun itu telah meminta seorang proksi menduduki kertas peperiksaan sains pada 29 Sept.

Menteri itu mendakwa beliau tidak dapat menduduki peperiksaan itu kerana terpaksa menghadiri mesyuarat penting, tetapi menafikan meminta seseorag menduduki peperiksaan bagi pihaknya.

Akhbar itu juga mendedahkan bahawa menteri itu memperkenalkan dirinya sebagai seorang siswazah pada kad jemputan kahwinnya pada Sept 2009.

Ahli politik itu juga memegang portfolio menteri pengangkutan di Puducherry. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Banjir Di Thailand Semakin Buruk

Artikel Lain